MESEJ DARIPADA TEMAN YANG SEJATI.
Dia tak pernah sebegitu. Muncungnya panjang sekali. Aku pun tak tahu kenapa dia jadi begitu. Yang aku pasti dia mula tak menyapa aku pagi tadi. Seperti biasa, dia akan ke bilik aku mengejutkan aku bangun ke kuliah. Dan seperti kebiasaannya, apabila bertembung dengan kuliah waktu awal pagi seawal pukul 8.00 pagi, pastinya memohon pengorbanan aku bangun dari pukul 7.00 pagi lagi memandangkan kolej kediaman kami agak jauh dari pusat pengajian. Perjalanan biasanya memakan masa paling cepat 30minit. Dan dia biasanya dari pukul tujuh lagi tercegat di depan pintu bilikku, mengejutkan aku agar tak terlewat ke kuliah.
Pagi ini, aku tak mengubah suatu perkara pun. Aku masih lagi liat, dan perkara ini memendekkan akal aku untuk ke kuliah awal pagi itu. Dia giat menggerakkan tubuhku yang longlai dalam litupan selimut hijau lembut hadiah daripada ibu aku dari kampung. Sebaik sahaja aku menggeleng kepala menandakan aku malas ke kuliah hari itu, mukanya berubah. Marah barangkali. Aku tak pernah pun ambil kisah tentang marahnya. Dia akhirnya melangkah meninggalkan aku yang masih berhibernasi seperti beruang kutub itu.
Pukul 11 pagi baru aku mula menghayun kaki ke pusat pengajian kami. Aku hanya nampak dia dari jauh. Juga seperti selalunya, dia berada jauh di depan sedangkan aku agak terperosok jauh ke belakang dewan kuliah. Habis sahaja kuliah biodiversiti tumbuhan, aku berjalan perlahan mendekatinya dan Halim yang juga belajar dalam kelas yang sama untuk subjek bahasa inggeris, kelas seketika nanti. Nampak sahaja wajah aku, Halim menyapa laju, bertanya tentang projek yang belum pun aku laksanakan. Faham dengan jawapan yang bakal aku katakan, Halim laju menyindir. Mukanya meriakkan kemanisan bergurau. Tapi berbeza dengan teman di sebelahnya. Dia tak menegurku waima dengan sepatah kata pun. Mukanya kelat mencuka. Aku cuba berseloroh perlahan. Bagai berbisik sahaja ke telinganya. Sama ada dia dengar atau tidak aku tak pasti. Tapi yang jelas, dia menarik muka jauh. Pasti dia tak senang. Kenapa ya?
Waktu kelas bahasa Inggeris selama 2 jam amat membosankan. Selalunya tak sebegini. Mungkin kerna selalunya, aku dan dia sentiasa menunjukkan telatah dan ragam masing-masing. Tak hairanlah kami amat terkenal dibandingkan pelajar lain. Halim juga kadang-kadang turut mencelah. Cuma hari ini Halim sibuk menyiapkan kerja projek yang terbengkalai walaupun seharusnya itu tugas aku. Dia diam sekali hari ini. Sunyi dan membuatkan hati aku sedikit kesit. Entahlah.aku makin keliru. Tak faham. Kelas habis agak awal dari selalunya. Aku berjalan perlahan membuntuti Halim. Budak itu berjalan agak laju mendepani aku dan Halim yang sedang rancak berbual. Halim lebih ceria dari sebelumnya. Aku pun tak terasa nak menyapa budak itu memandangkan matanya agak tepat memandang tanah yang basah ditimpa hujan petang itu. Halim bergerak ke hala bertentangan apabila sampai di persimpangan jalan yang memisahkan kolej kami berdua. Aku pula terus menghayunkan langkah menuruti sahabat aku yang ‘bisu’ itu. Bosan dengan berdiam diri sedari tadi, aku memulakan langkah pertama menegurnya. Hampa. Dia tak membalas pun. Dia tak menunjukkan rasa bencinya pada aku. Mukanya agak selamba. Aku benar-benar tak faham. Merajuk ke? Tentang apa agaknya?
Aku cuba membuka mulut bertanyakan kenapa atau paling tidak terus memujuknya. Maklum sahaja dia berperangai seperti budak-budak juga kadang-kadang. Lagipun dia memang lebih muda daripada aku. Tak ubah juga seperti adik aku. Mungkin sebab inilah, makin lama aku makin tak kisah memendekkan muncungnya yang berdepa panjangnya itu. Aku pun dah kian faham tindakannya. Dia memang jujur dan ikhlas. Sebab yang kuat untuk aku faham kenapa dia begitu sensitif dalam soal ini. Tapi soal apa sebenarnya? Hubungan yang rumit. Cubaan memujuk yang aku laksanakan tak membuahkan hasil yang ranum. Dia tak senyum pun. Ayat yang terluah pun hanya- “tidak ada apa-apa kut..” Aku bertambah pening. Aku diam sepertinya dalam perjalanan itu. Kalau boleh nak saja aku terajang dia tanya kenapa…
……..
Hati aku tersentap berang. Dia tak patut buat begitu. Walau bagaimana marah pun dia pada aku dia tetap tak ada hak memperlekehkan aku sebegitu. Teman-teman lain berderai ketawanya. Muka aku semerah saga aku kira. Dia dah melampau! Egoku mula tercabar. Darah lelakiku meruap naik. Aku menjelingnya di hujung meja bulat tempat kami semua menjamu selera malam itu. Sudah lah semasa aku mengajak dia makan malam sebentar tadi dia tidak menjawab. Hanya apabila Hisham yang mengajak barulah dia setuju. Memang aku tak faham. Aku merenung matanya memohon agar cerita itu dihentikan namun matanya menjeling tajam umpama ingin menelanku hidup-hidup. Sah dia dah gila. Pasti mati aku malam itu. Apa lagi dapat aku buat. Kisah lelaki yang menggosok belakang dan tangan aku akhirnya menjadi cerita ‘bedtime story’ mereka semua malam itu. Nahas! Esoknya aku tekad tak mahu menegur atau melihat dia lagi. Aku nampak dia tenang sahaja. Tak terasa susah pun bila aku menjauhinya. Malah dia biasa sahaja bila berjalan sendirian ke kelas atau ketika makan. Dia sudah biasa ke? Aku rasa tidak kerana dia pernah cerita tentang betapa bosan dan sepinya hidup bila senantiasa bersendirian. Kadang-kadang apabila rakan-rakan lain ajak makan, kami bertemu juga. Tapi perang dingin kami tetap berpanjangan. Berbeza apabila mereka mengajak dia berbual-bual di bilik aku, dia tegas menolak. Selalu sahaja sibuk. Aku pun malas nak ambil kisah. Sama juga bila aku harus ke biliknya untuk sebarang tujuan, aku berasa amat berat sekali. Pernah sekali aku teringat cekera padat yang tertinggal di biliknya minggu lepas. Mahu atu tidak, aku terpaksa mengambilnya memandangkan cakera padat itu akan digunakan untuk pengubah suaian komputer ribaku. Ketika sampai di depan biliknya aku sedikit cuak untuk mengetuknya. Apabila menyedari pintu biliknya tidak berkunci, aku menolak sahaja daun pintu itu tanpa mengucapakn salam. Sebenarnya selalu juga keadaannya begitu. Dia menoleh ke arahku. Aku menjawab kecil menyatakan keinginanku. Nyata dia tak berkata apa-apa. Hati aku marak tapi tak berapa endah dengan caranya. Mungkin kerana aku maklum kami tak seperti selalu dan umpamanya kami takkan berkawan lagi.
……
Dalam tak sedarku. Dah lebih seminggu kami tak bertegur sapa. Kawan-kawan lain seperti tak tahu pun. Bagiku itu perkara biasa. Seorang lelaki yang tak baik dengan seorang lelaki lain khususnya bila menyentuh tentang perang dingin ini, selalunya berbulan baru diketahui teman-teman lain. Sebenarnya aku sendiri tak pasti betul ke dah lebih seminggu. Lagi pula seperti tak tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Sekadar mulut masing-masing tak terasa nak menegur telinga pihak sebelah lagi. Dan akhirnya berlanjutanlah sehingga seminggu. Ikhlas, aku tak percaya dia mampu melarutkan masa perang dingin kami. Aku sendiri tak mahu hubungan ini terus begitu. Sesekali terasa juga ingin menegurnya tapi aku terpaksa tunduk kepada ego lelakiku yang membuak kehangatan. Darah lelaki muda barangkali. Dan apa yang lebih megelirukan aku bila terfikirkan bahawa selalunya dia yang datang menyapaku bila kami bermasam muka umpamanya tidak ada apa-apa yang berlaku antara kami. Mungkin kali ini dia juga ada egonya. Atau dia mahu dipujuk? Tak kuasa aku. Entahlah.
……
Hari kesembilan aku kira. Atau kesepuluh mungkin. Dia ke kuliah sendirian. Pun begitu juga dengan aku. Segala-galanya berjalan seperti minggu lepas. Diam dan panas. Jauh dan seperti tak pernah mengenali masing-masing. Kami memang berasingan, Cuma ketika pulang, kami berjalan agak seiring. Pada mulanya dia berjalan agak ke depan. Entah mengapa dan bagaimana tiba-tiba sahaja aku hampir terlanggar diriya. Aku tak rasa pun aku berjalan terlalu laju. Barangkali dia berjalan lambat-lambat atau terus berhenti. Untuk apa? Nak saing dengan aku ke? Ego aku bercambah. Jangan harap! Selagi tak dengar perkataan maaf daripada mulutnya aku takkan dekat. Aku melangkah laju-laju. Melintas dan meninggalkan dia keseorangan. Ketika memotong dia yang tengah berjalan itu, aku sempat menangkap kilas matanya yang redup melihat kelibatku. Entah kenapa aku menjadi sekejam itu. Aku menjadi bertambah ego dan terlintaslah niat ingin membalas dengan perbuatannya. Siapa suruh mula dulu…
Dia kaget sedikit tapi aku nampak tangannya sedang menekan punat telefon tangannya. Menulis mesej ringkas atau sebenarnya sedang kawal rasa malu? Aku tak tahu. Terasa hati ini sedang digeletek pula. Aku membuka langkah semakin luas dan melajukan lagi hayunan kakiku. Lebih lagi bila dia kelihatan seperti ingin mengikutku. Aku dengan rasa amat diperlukan, berlari meninggalkannya dan menyeberangi jalan. Dan serentak dengan itu, aku terkejut dia berlari pantas mengejarku, memekik namaku kuat dan menolak tubuhku jatuh terlentang. Aku gamam dengan sekujur tubuh di bawah perut kereta Waja buatan Malaysia yang berwarna kelabu itu. Darah yang mengalir lebih banyak dari darah yang mengalir pada lenganku.
……
Sedar sahaja, aku betul-betul di depan wad kecemasan unit rawatan rapi Hospital Kajang. Seorang jururawat keluar menghulurkan sebuah telefon bimbit berwarna biru laut. Itu telefon dia. Mendapatkan telefon itu bagaikan mendapatkan semula seseorang yang aku tak pedulikan, seseorang yang banyak kesalahan aku padanya. Pada skrin telefon bimbit itu tertera nombor telefon bimbitku. Aku tersentak. Hatiku meluru bertanya untuk apa nombor aku terisi di ruang nombor mesej untuk dihantar. Aku membuka ruang mesej itu dan membaca sebuah mesej panjang yang amat mengharukan hatiku yang selama ini amat kering dengan emosi…
…… HARI INI KITA GADUH… AKU MAIN-MAIN SAJA… TAPI KAU INGAT BETUL-BETUL PULAK… APALAH… KAN AKU JUGA YANG MENYESAL… TADI KITA JUMPA, KAU PANGGIL AKU… TAPI AKU BUAT-BUAT TAK DENGAR… KENAPALAH KAU TAK FAHAM… AKU SAJA JE NAK MERAJUK SIKIT… EGO LELAKI… AKU SUKA GILA BILA KAU PANGGIL… DALAM HATI MENGHARAP AGAR KAU PUJUK AKU… TANYA KENAPA… TAPI TAK… KAU TAK TANYA… AKU LAGI KECEWA… MASA KAU TANYA HARI TU AKU BUKAN TAK NAK JAWAB CUMA SAJA JUAL MAHAL.. NAK JUGA TENGOK KAU TENSION PUJUK AKU… PADAN MUKA AKU BILA KAU DAH TENSION DAN TAK NAK TEGUR AKU LAGI. BILA JALAN AKU TERINGAT APA YANG KAU SELALU BUAT KAT AKU… AKU PUN BALAS DENDAM… BODOHNYA AKU SEBAB BALAS DENDAM TAK KENA TEMPAT… BILA KITA SELISIH, AKU TAK BERANI PANDANG KAU… AKU SEGANLAH… BUKAN BENCI KAU… AKU TAU KAU BENGANG TAPI AKU SEGAN NAK TEGUR KAU.. KALAU KAU TEGUR DULU DAN BUAT MACAM TAK ADA APA-APA BERLAKU ANTARA KITA, MESTI AKU TAK KISAH. AKU PUN SATU… KENAPA LAH NAK CARI GADUH DENGAN KAU… KAN AKU JUGA RASA SUNYI… HARI TU AKU TAK SENGAJA KUTUK KAU… ALAH KAU NI PUN SATU… MACAM TAK BIASA PULA… KAN SELALU BEGITU… BILA KAU PANDANG AKU MINTA DIAM-DIAM DENGAN MATA KAU YANG TAJAM TU… AKU RASA SUKA PULA… GELI HATI… TAPI MUNGKIN ITU PERASAAN YANG AKU RINDUKAN MASA KAWAN DENGAN KAU… CARA KAU YANG BIASA DAN SELAMBA… TAPI IKHLAS… DAN RASA KAU MEMANG KELAKARLAH… TAPI ITU DULU… SEKARANG AKU RASA KAU DAH TAK SUKA KAWAN DENGAN AKU LAGI… KITA TAK SELALU BERJALAN BERSAMA… AKU RASA BOSAN DAH TAK ADA KAWAN… KALAU BERJALAN SEKALI PUN KAU TAK BANYAK BORAK DENGAN AKU… LAGILAH NAK BUAT KELAKAR MACAM SELALU… AKU PUN DAH LAMA TAK DENGAR MULUT KAU SEBUT NAMA AKU DENGAN BAIK… NAMA AKU BUKAN EH ATAU WOI… MAK ABAH AKU BERI NAMA PADA AKU DENGAN SEBUTAN YANG BAIK… WALAUPUN TAK ADA MAKNA… PANGGIL SAJA LAH BEGITU… TADI KAU BUAT MUKA EMPAT BELAS… AKU NAK PANGGIL KAU… KALAU BOLEH NAK MINTA MAAF DENGAN KAU SEBAB BANYAK BUAT SILAP DENGAN KAU… TAPI KAU JALAN LAMBAT SANGAT… BILA AKU PERLAHANKAN LANGKAH AKU, TIBA-TIBA KAU JALAN LAJU… AKU RASA TERKILAN JUGA LAH… TAPI AKU TAK SALAHKAN KAU… AKU YANG BUAT KAU BEGITU… AKU YANG MULAKAN DULU… SIAPA SURUH AKU BUAT BEGITU… PADAN MUKA AKU SEKALI LAGI… LAGIPUN AKU YANG BUAT KAU MARAH… JADI AKU KENA TANGGUNGLAH RISIKONYA… MUNGKIN KAU MASIH TAK DAPAT MAAFKAN AKU LAGI… TAK APALAH… AKU TUNGGU SEHINGGA KAU BENAR-BENAR SEDIA DAN IKHLAS UNTUK MAAFKAN AKU… TAPI KAN… AKU TAKUT AKU TAK SEMPAT NAK MINTA MAAF DENGAN KAU… YA LAH… AJAL MAUT DI TANGAN TUHAN… KALAU ADA ANTARA KITA YANG PERGI DULU… MESTI AKU TAK SEMPAT MINTA MAAF KEPADA KAU… BEGINILAH… AKU TAIP MESEJ PANJANG INI AGAR KAU DAPAT FAHAM MAKSUD AKU… KALAU KAU DAH DAPAT MESEJ NI NANTI, AKU HARAP KAU MAAFKAN AKU… AKU TAHU SILAP AKU DAN AKU CUBA TAKKAN BUAT LAGI… AKU JANJI… DAN KALAU SEMPAT AKU NAK BERITAHU… KAULAH TEMAN PALING SEMPURNA… KAULAH TEMAN PALING ISTIMEWA… KAULAH TEMAN YANG SEJATIKU… TERIMA KASIH DAN MAAF SEKALI LAGI… FAIZ…TERIMA KASIH. …….
Dan mungkin, ini mesej terakhir yang akan ku terima dari seorang teman yang sejati, yang sebenarnya tak sempat pun sampai kepadaku. Lebih lagi bila doktor menggelengkan kepalanya di saat ibunya datang bertanyakan keadaannya. Kerana berlagaknya aku sebagai seorang lelaki, aku melupakan keintiman sebuah persahabatan yang tampak biasa di mata insan lain. Rupanya namaku dipanggil bukan kerana mohon aku tunggu dia, sebaliknya supaya aku menyedari kehadiran kereta kelabu itu. Kerana ego, aku kehilangan permata yang ku sangkakan batu biasa itu…
Untukmu saudaraku, Amanlah engkau di sana…
Al-Fatihah…
“Meski suatu masa kau tak mengenali permata atau batu yang kau kutip, harus bagi kau menghargai setiapnya yang telah kau genggami kerna aku bimbang, kau akan kehilangan sebutir permata yang tak ternilai harganya, sedang kau terlalu sibuk mencari biji-biji batu yang sebenarnya hanyalah butir-butir pasir yang biasa.”
~MUHAMMAD HANAM HAMID
ukm: 20.10.2006 1211pagi ~ 21.10.2006 756pagi
No comments:
Post a Comment