Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Sunday, November 28, 2010

Tinta Layar Sang Penglipur Lara : Jeda

Sebuah kisah yang telah engkau ketahui...
    Lama mendiamkan diri, Sang Penglipur Lara kembali mencatit kisah kehidupan dalam jurnalnya yang dilakar buat berkongsi cerita di balik perjalanan umat manusia di dalam dunia ini.
    Asalnya Kerana Irhadah terdiam sendiri apabila kehidupan Sang Penglipur Lara berubah layarnya. Biarpun Seputeh Salju sudah siap melekat dalam benak Sang Penglipur Lara, Kerana Irhadah yang terilham daripadanya, masih lambat teruntai ceritanya. Kini Sang Penglipur Lara kembali semula, dan insyaAllah, selain Kerana Irhadah yang mula berhijrah daripada tepat asalnya, Lelaki pula cuba melarik daripada sisi memenuhi ruang nota Sang Penglipur Lara.
    Lelaki ialah cetusan rasa yang tersembunyi di sebalik hati kaum Adam, tercorak dalam latar watak yang berbeza. Bersama-sama keikhlasan yang sentiasa ada dalam tulisan Sang Penglipur Lara, semoga Lelaki menjadi teman yang akrab untuk anda semua, selain kehadiran Kerana Irhadah yang mungkin, masih menjadi tanda kesetiaan anda.

Daripada sebuah insan yang berkongsi hidupnya dengan anda,
Sang Penglipur Lara
www.kisahsangpenglipurlara.blogspot.com 

Sunday, October 10, 2010

Novel : Kerana Irhadah (3)

"Adakah sebuah kekosongan itu harus dipenuhi dengan isi dendam, ataupun kasih sayang seluas lautan?"
-KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju



Petang sudah menyinsing. Ada burung yang berterbangan merentas sawah tempat dia duduk berteleku. Punggungnya terasa keras dek batu yang terselit di celah tanah tempat dia duduk. Farizz masih bermenung jauh. Ingatannya pada Abah tidak pernah luput. Meski dia tidak pernah tahu apa kaitan Farhan dalam kepemergian Abah, dia tetap meletakkan rasa salah itu padanya. Farhan penyebabnya. Dia tidak peduli mana yang benar mana yang tidak, padanya Farhanlah penyebabnya. Penyebab kepada kematian Abah, sama seperti keperitan Bunda bertahun dulu sebelum Farhan muncul dalam kemeriahan keluarga mereka. Semuanya angkara Farhan!
"Abang! Bunda panggil balik"
Suara itu muncul entah dari mana, tiba-tiba menyapa ke gegendang telinganya. Farizz mengerling sedikit ke tepi. Melihat susuk halus tubuh Farhan berdiri tegak di belakangnya. Ada sekepal sisa kelapa parut dalam besen yang dibawanya. Bergaulan bersama nasi yang kelihatan sudah basi.

"Bunda cakap maghrib-maghrib tak baik..."

"Aku tahulah. Kau pergilah bagi Jalak makan. Nanti aku balik lah."

Farizz cepat memintas sebelum sempat ayat si genit itu dihabiskan. Bagai ada riak pada permukaan wajah Farhan. Farizz masih membatu. Pandangan yang teralih sedikit ke sisi kanan dihala semula menghadap mentari yang makin mencecah ufuk bumi. Farhan tetap tegak berdiri di tempatnya. Dia membuka mulutnya semula.

"Tapi Bunda cakap.."

"Kau diamlah! Jangan sibuk. Aku tampar karang mulut kau tu!"

Senyap dan sepi ketika. Farhan masih tersentak dek tempelak Abangnya. Dia memalingkan wajahnya jauh dan segera berlari ke belakang rumah. Jalak dan keluarganya sudah berhimpun di reban mereka menanti disajikan hidangan malam itu. Farizz mengeluh perlahan. Riuh ayam bertempikan menarik arah ekor matanya ke belakang rumah. Matanya lesu memerhati Farhan yang galak menjamu ayam-ayam peliharaan mereka. Lama memerhati, dia terlihat sepasang mata lain yang turut memerhati Farhan daripada ruang dapur.

Ayam-ayam yang kelaparan mematuk-matuk manja kaki Farhan yang bertumpahan sisa kelapa. Ditambah lari-larian si anak pada kakinya membuatkan Farhan bersorak gembira. Geli hati. Bunda yang masih menetapkan pandangannya pada Farhan turut tergelak kecil. Hati kecil Farizz tiba-tiba disentuh bahagia. Bunda masih mampu tersenyum. Dia lantas bangkit menuju ke arah Farhan.

"Weih! Apa galak sangat maghrib-maghrib ni? Tadi pandai nasihatkan orang, sekarang dia pula yang lebih. Elok biar saja kau disorok hantu"

Suara Farizz mengejutkan Farhan yang leka bermain-main di situ. Bunda terdiam tanpa disedari Farhan. Farizz mengekor pandangannya ke arah Bunda sedikit. Pandangannya beralih semula kepada adik kecil yang berdiri betul-betul di hadapannya.

"Dah, cepat bagi makan. Jom masuk!"

Arahan ringkas segera dituruti Farhan. Dia berlari-lari lekas mengikut langkah panjang abangnya. Sampai di satu sudut kakinya hampir tersadung. Sebelum jatuh, tangannya disambut Farizz. Mata Farizz tepat ke dalam matanya. Farhan melontarkan anak matanya jatuh ke lantai bumi. Tangan yang menggenggam dibiarkan. Segera keduanya berjalan perlahan masuk ke dalam rumah apabila azan maghrib berkumandang.

...

Nasi yang sedikit itu disudip perlahan ke dalam setiap pinggan di hadapannya. Farhan memandang abangnya sedikit gugup. Bunda memandang Farizz dan Farhan bersilih ganti.

"Farizz, tuangkan air untuk semua."

Farizz bangun mengisi air yang berwarna putih ke dalam tiga gelas di atas dulang yang disediakan Bunda. Bunda mengangkat dua tiga bekas yang berisi lauk tengah hari tadi dan ulam yang dipetiknya di belakang rumah. Ulam-ulaman dan sayur-sayuran memang sentiasa ada di belakang rumah mereka. Abah seorang yang rajin berbudi pada tanah. Selain menjimatkan serta tidak membiarkan sahaja tanah yang lapang itu ditumbuhi belukar, Abah juga menjadikan bercucuk tanam sebagai riadah yang menguntungkan bagi mengeluarkan peluh. Hidup mesti sihat kata Abah.

Farhan yang giat menceduk nasi daripada belanga tiba-tiba terpaku sendiri. Matanya tertumpu ke atas lantai simen dapur. Farizz memandangnya hairan. Farhan diam dan bagai diselimuti cuak. Ada butir-butir nasi bertaburan di atas lantai. Farizz menjengil matanya luas.

"Kau kenapa? Apa pasal kau jatuhkan nasi? Kau ingat kita kaya sangat kah nak beli beras hah? Kau ingat beli beras pakai air liur kah? Nanti kau tak payah makan. Makan yang atas lantai tu saja!"

"Farizz! Tak baik bertelagah depan rezeki. Tak pe A'an, ambil nasi dalam pinggan Bunda. Kita kongsi. bunda pun masih kenyang makan cokodok petang tadi."

Farhan mengecilkan kepalanya. Terus dikutip nasi yang bertaburan di atas lantai. Dibuangkan sisa-sisa tadi ke bekas kecil di bawah sinki dapur. Selesai basuh tangan segera dia ke meja makan. Pinggannya masih kekurangan nasi. Bunda yang memandangnya sayu segera menceduk nasi di dalam pinggannya dan dikongsikan ke pinggan Farhan. Farizz mengetap bibir geram.

"Cukup?"

Suaranya kedengaran bengis tetapi mendatar. Farizz menahan cedukkan kedua Bunda daripada memasuki pinggan Farhan.

"Bunda pun makanlah banyak sikit"

Tangannya bertukar tempat dengan Bunda. Dikongsikan separuh nasi dalam pinggannya kepada Farhan. Matanya tetap ke arah adik yang tertunduk takut.

"Kau tu kecil. Kena makan banyak. Nanti orang buli aku tak nak tolong. Pandai-pandailah nak hidup!"

Bunda tersenyum sikit. Anak sulungnya masih punya kasih pada insan halus di hadapannya. Masih ada rasa bertanggungjawab. Dia memegang belakang anak kecilnya sambil senyum diukir manis pada alis bibirnya.

"Dah A'an. Baca doa cepat. Bunda dah lapar ni"

Farhan mendongak. Tangannya dua-dua dirapatkan dan tertadah ke langit. Semua diam dan menghayati halus suara Farhan berdoa.

"Amin.."

Tuesday, September 28, 2010

Novel : Kerana Irhadah (2)

"Setiap langit akan dikunjung mendung, bertukar gerimis, menjadi hujan dan beralih ke ribut. Adakah pelangi masih setia mewarnai dadanya?"
-KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju

DIA buat lagi. Kali ini alasan yang berbeza. Kasihan pada tubuh kecil Farhan. Dia mendongak ke arah langit yang sudah pekat kelabu. Air matanya memberat di bibir mata. Terkedek-kedek dia berjalan. Sesekali berlari-lari anak mengelilingi blok kelas Tingkatan Satu. Kelibat Fariz masih belum menegur pandangannya. Letih berdiri, dia menunggul seketika. Penat menanti, sekali lagi beg sekolahnya dikilas ke atas pundak, berdiri dengan hujung kakinya terjinjing mengangkat badannya. Mana sahaja abangnya pergi.

Hujan mula berderaian jatuh. Air matanya masih bertahan. Dia duduk diam bersendiri. Barang kali petang sudah menjengah tiba. Kebanyakkan murid sudah pulang ke rumah masing-masing. Begitu juga guru-guru kerana tiada kelas tambahan pada hari ini seperti hari-hari biasanya. Dia kian merasa sunyi. Di parkir kereta, hanya ada sebuah kereta Proton Saga merah milik Penolong Kanan I yang tinggal. Farhan masih cuba bertahan, namun di ceruk benaknya,tangisan sudah lama berkumandangan. Setabah mana dia, budak yang baru berusia 12 tahun itu sudah melekatkan wajah mencuka di raut depannya. Teriaknya ditahan sebolehnya.

Abah dan Bunda tak juga muncul seperti biasa. Dia masih ingat, setiap kali Farizz mengamuk meninggalkan dia atau pun atas sebab kelas tambahan yang dijalaninya, sekurang-kurangnya Abah dan Bunda akan juga tiba menjemputnya pulang meski senja sudah berlabuh. Kali ini, dengan gerimis yang sudah pun bertukar ribut, tiada siapa yang peduli. Jiwa kanak-kanaknya mula berfikir jauh. Kekusutan mengaburi akal warasnya. Serasa Abah dan Bunda juga sudah tidak sayangkan dia lagi seperti mana Farizz sering nyatakan. Kolam air matanya mula gelisah. Penahannya pecah sudah. Dia nekad. Akhirnya dia mengangkat beg galasnya yang berat itu ke bahu dan berlari meredah hujan.

"Farhan! Awak nak ke mana tu?"

Satu suara garau bersilih keluar daripada dentum guruh yang kuat. Dia menoleh ke belakang. Hujan masih setia membasahi tubuh mungil Farhan. Mulutnya terkunci.

"Kenapa awak tak balik lagi? Mana abang awak? Ayah awak tak datang jemput awak?"

Bertalu soalan keluar daripada mulut Cikgu Raziff, PK I merangkap Guru Disiplin sekolah. Tangannya ternguit-nguit memanggil Farhan dekat.

"Mari cikgu hantarkan. Mari!"

Farhan berlari cepat meredah lebat hujan yang mengganas memukul bajunya lencun, menuju ke tempat Cikgu Raziff berdiri. Air matanya lesap bersama hujan yang sama membasahi muka dan kepalanya. Cikgu Raziff menggeleng kepalanya perlahan. Rasa simpati terbit tanpa diminta. Sekejap, dia masuk ke kereta Saganya mengambil sekeping tuala kecil dan diajukan kepada Farhan.

"Lap sikit kepala awak tu. Basahkan dengan air paip dulu. Nanti awak demam."

Farhan mengikut perlahan tanpa banyak suara yang keluar. Takut pada cikgu yang terkenal garangnya itu tidak pernah ada. Malah, simpati dan prihatin gurunya itu lebih kuat menghuni jiwa kecil Farhan. Seraya itu, mereka berdua masuk ke kereta dan dipandu laju oleh Cikgu Raziff ke rumahnya.

...

Sampai di rumahnya yang kecil, kelihatan orang ramai berkumpul. Ada makcik-makcik yang sering datang ke rumahnya bertaranum dan berzanji Bunda. Tapi mereka tidak memakai baju kurung putih seperti selalunya. Tidak lawa seperti biasa. Terlalu ringkas. Ada juga rakan-rakan Abah dan beberapa orang kampung duduk termangu diam di beranda depan rumah. Farhan cepat mengerling apabila melihat kelibat Farizz berdiri sendirian di bawah pokok rambutan dalam pakaian seragam. Marah Farhan singgah. Merasuk jiwanya yang telah lama memendam rasa. Dia lantas membuka pintu dan berginjak keluar.

"Terima kasih banyak-banyak, Cikgu"

Belum pun sempat ucapan itu dibalas Raziff, Farhan telah berlari meluru ke arah Farizz yang leka menghias sugul di parasnya yang mulus itu. Hujan masih suka bermain di bumi, mega masih berarak kelam.

"Sial! Kau tinggal aku! Kau tinggal aku sorang-sorang!"

Marahnya marak. Titis air hujan tak bisa memadam amarahnya. Jiwanya tak jadi sejuk. Tangannya dikepal erat memukul dada Farizz bertubi-tubi. Sakit hatinya meliar memberinya gagah membalas rasa. Farizz diam. Matanya terus menikam tubuh kecil Farhan. Tiba-tiba, kebencian terbit, Farizz menolak Farhan kasar ke tanah.

"Semua sebab kaulah sial! Kau yang bawa sial! Abah pergi sebab kau! Sama sebab ibu kau dulu!"

Farizz menengking adiknya kuat. Halilintar sendiri bagai terpaku mendengar suara Farizz yang cuba melawan deras suaranya. Orang ramai mula mencuri pandangan. Masing-masing terkesima melihat drama dua beradik itu. Cikgu Raziff yang masih dekat dengan mereka segera menerpa. Matanya membulat ke arah Farizz. Dihulurka bantuan kepada Farhan yang masih kaget di atas tanah yang sedang lecak angkara ditumbuk dek hujan yang melebat.

"Apa awak cakap ni, Farizz? Tak baik!"

Farizz murka. Dia berpaling dan terus berlari jauh daripada mereka. Farhan dibangunkan perlahan. Raziff bertambah sayu melihat anak kecil yang belum pun mengenal erti dunia. Dia masih dapat melihat kelibat Farizz yang berlalu pergi dengan langkah seribu. Pada firasatnya, Farizz juga dihimpit sedih. Dia memapah Farhan ke rumahnya. Orang ramai membuka ruang. Semuanya menumpangkan rasa sayu.

...

Tangisan Farhan terhenti. Esakannya yang perlahan termati terus. Dia melihat tepat figura di hadapannya. Ada sekujur tubuh dibaluti kain putih tak bergerak. Bunda sedang dirundum tangis. Esaknya lebih kuat daripada dia. Farhan segera berlari ke tubuh yang kaku dipeluk Bunda itu. Dia kemudiannya meraung kuat.

"Abah! Abah! Abah!"

Suram yang diwarnai kelam mendung bertambah legap. Tetangga yang hadir ikut terasa. Mak Dek, jiran sebelah rumah lekas mengangkat susuk Farhan yang erat memeluk Abahnya. Tangannya didakap lebih ketat. Dia gagahi juga melawan kudrat Mak Dek yang cuba meleraikan pelukannya. Sesekali dia menepis benci dengan tangan Mak Dek yang mengganggu.

Bunda mendekatkan mulutnya ke telinga Farhan. Dia berbisik perlahan. Lembut dan sepenuh kasih. Sambil tangannya disuakan pada bahu Farhan. Dia berjaya meleraikan Farhan. Kini, Farhan dalam dakapannya pula. Sedih bercambah lagi. Berbunga pilu.

Malas melayan keperitan yang menghukum benaknya, Bunda bangkit dengan Farhan masih melekat di sisinya. Dia memujuk Farhan perlahan. Kosong. Masih tak berginjak pergi. Sekali lagi mencuba. Masih tak berjaya. Dia berjalan perlahan. Sakitnya masih terasa, dan Farhan masih tetap enggan berpisah.

"A'an..lepaskan Bunda. Bunda nak tolong Mak Dek sediakan minuman. Kan ramai tetamu datang tu. Tak baik biar mereka dahaga."

Bunda mencari alasan. Kasih pada Farhan tetap tebal. Seperti mana janjinya pada suaminya, dia akan kekalkan begitu. Kasih sepanjang usianya.

"BAMM!" Tolakan kedua menjatuhkan Farhan sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Tolakan beserta penumbuk besi singgah ke perutnya.

"Kau jangan nak mengada-ngada! Ini Bunda aku! Bukan kau punya! Pergi kau, sial!"

"Izz!"

Bunda menjerit perlahan menghentikan laungan Farizz yang ganas meratah Farhan. Farizz masih belum diam. Mulutnya kembali terbuka. Namun, sebelum sempat suara dibawa keluar daripada rongga tekaknya, sebelah tangan Bunda terlebih dahulu hinggap ke pipi Farizz.

Semua yang ada tersentak. Diam seluruh isi rumah kecuali ribut yang masih cuba berkuasa menawan suasana. Drama ini terlalu melampau baginya. Cukup-cukuplah! Farizz terkunci terus. Anak matanya memanah tepat ke mata Farhan.

"Aku benci kau!"

Suaranya terlekat di kerongkong. Dia berlari pergi. Farhan masih terjelepuk di lantai. Bunda pula mengeluh perlahan. Dia tunduk dan beristighfar panjang. Farhan bangun cepat. Tiada esak yang keluar. Seraya Bunda mengerling ke arahnya, Farhan berlalu ke bilik tidur yang dikongsinya bersama Farizz. Bunda berlalu ke dapur, membiarkan khalayak bersimpati dalam diam.

Mungkin hujan kian lebat malam ini..

(bersambung)

Sunday, September 19, 2010

Novel: Kerana Irhadah (1)


"Mereka dicipta daripada darah yang serupa, tetapi lahir dengan jiwa yang berbeza. Mampukah ketetapan Tuhan membuahkan hikmah?"
-KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju


Bukan seketika, tetapi sudah lama mereka begitu. Sudah berzaman mereka bersama. Kelihatan begitu akrab dan mesra. Namun di balik tirai itu, kedua-dua beradik itu punya jurang yang tak dapat mereka rapatkan.


Farizz dilingkari amanat Bunda tersayang memikul beban yang tak pernah dimintanya. Umpama menggalas biawak hidup, Farizz terpaksa menyambung nyawa manusia yang paling dibenci dalam hidupnya. Jika bukan kerana kasih pada Bunda yang sedang sarat melawan keperitan, tidak akan sesekali pun dia sanggup berjanji memelihara kanak-kanak kecil yang sedang mengenggam erat tangannya tatkala itu. Sesal dan benci bertumbuh menjadi dendam yang mendahsyat dalam lubuk raganya.


Dan ketika kesumat itu tertabur dalam diam terhadapnya, Farhan mengharung hidup diselubung rasa benci daripada satu-satunya insan yang tinggal dalam hidupnya. Kesilapan yang tak pernah menjadi miliknya ialah senjata yang begitu tajam membenam celah jemari kakinya dalam kembara hidup yang diredahnya. Kelahirannya menjadi punca manusia bertelagah. Kehadirannya mencambahkan benci pada insan yang dikasihinya. Kewujudannya pula menagih kehilangan mereka yang dia gelarkan Ibu dan Ayah.


Dan saat jalan kedua mereka bersambung di persimpangan itu, sebuah cerita merebak menjadi konflik yang diselindung jauh daripada mata masyarakat luar. Mereka tahu, ketetapan Ilahi menakdirkan mereka menjadi musuh yang tinggal dalam satu selimut yang sama. Di sini, bermulalah....
(bersambung..)

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com