Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Thursday, April 28, 2011

Puisi : Ruang

RUANG

Biar kita membelek seketika,
Dalam kamar hati yang pudar warnanya,
Saat dan detik masa yang berlari-larian,
Punggahan waktu yang tak terkejar,
Sedang langkah yang semakin penat berjalan,
Denai-denai jalan yang kian menghilang.

Dari dalam buku masa ini,
Kita dilarikan ombak yang membasahkan helaiannya,
Pada noktah-noktah yang bersambungan,
Di tempat kita menzahirkan jeda yang panjang,
Atau hela nafas yang tersekat-sekat,
Tercungap-cungap.

Wujudkah satu cara,
Atau mungkin segelimpangan upaya,
Untuk rasa cinta membuahkan akalnya,
Atau roda-roda ruang yang maju ke hadapan,
Yang padanya,
Hanya tinggal segumpal hati?

Ingat tika kita menggerakkan dunia berputar,
Kendatipun kita masih bertakuk sama,
Dan kita cuba meninggalkan mereka yang ada,
Untuk kita isikan ruang-ruang ini dengan kekosongan yang penuh.

Jika suatu masa,
Kita nyalakan jamung angkasa,
Dalam kotak minda yang gelita,
Dan saat jasad kita seakan tiada,
Serta mereka yang selalunya ada,
Biarkan kita membelek seketika;
     "Apakah masih ada, ruang untuk memenuhkan kekosongan ini selain daripada ketiadaan?"

Hanam Hamid
Tika dan Saat Ini 
(10:26pm/28 April 2011)

Monday, April 25, 2011

Tinta Layar : Untukmu Bunda (Dalam mengisi riwayat “Kerana Irhadah”)

Assalamualaikum..
Buat pembaca dan pengamat blog ini yang selama ini sekadar membaca retetan peristiwa yang terkandung dalam jasad novel bersiri Kerana Irhadah. Satu demi satu adegan hidup si abang dan adiknya menjalani jalan masa yang kian malap lanteranya. Mencatat rasa pilu dan duka dua saudara berlainan bicara, serta bersama direntap daripada bahagia yang sedang dibina. 

Jika selama ini anda merupakan pembaca, akan sebuah cerita yang telah saya layarkan. Dan seandainya sehingga hari ini, telah anda rasakan betapa jiwa mereka dilayangkan ke angin taufan. Buat masa ini, dan tika ini, saya ingin anda berhenti membaca buat seketika. Pejamkan mata dan amati semula kisah dua jiwa yang dilanda rona derita yang memekat, sehingga kali terakhir, satu-satunya dahan tempat berpaut dimamah usia dan mula merapuh. Apakah yang terasa di jiwa anda?

Bersempena dengan Sambutan Hari Ibu pada Mei ini, serta bertepatan dengan episod ke sepuluh “Kerana Irhadah”, layar Sang Penglipur Lara melakar bayang untuk anda mainkan peranannya. Bagaimana caranya? 

SATU, sertailah Projek : “Memo Untuk Bunda” dengan menulis madah atau puisi ringkas untuk merasai jiwa dua saudara ini tuliskan buat Bunda mereka. Tuliskan rasa hati anda apabila menjadi mereka yang selama ini bergantung hidup dan nyawa pada seorang wanita tua yang tanpa penat mewarnai hidup mereka dengan pelangi bahagia. Nukilkan rasa hati anda sebagai mereka, dan zahirkan ke laman wall ‘The Hanam’ di Facebook. Salin link wall berkenaan dan sertakan di ruang komen entri ini dengan nama anda dan link profil Facebook anda.

Atau DUA, penuhkan wajah Bunda anda dalam Projek : “Potretmu Bunda” yang memaparkan rakaman potret seorang wanita berwatakkan ibu kepada dua orang anak untuk dijadikan potret episod istimewa ke sepuluh novel “Kerana Irhadah”. Bingkaikan wajah Bunda anda dalam sebagaimana cara pun yang hati anda inginkan. Dengan siapa atau suasana bagaimana, biarlah hati seni anda yang menilai kasih itu. Setiap potret yang dirakam, harus dimuat naik ke laman ‘The Hanam’ di Facebook serta link daripada laman tersebut harus disertakan di ruang komen entri ini dengan nama anda dan link profil Facebook anda. 

Apa yang saya janjikan, mungkin tidak bernilai seumpamanya garapan dan interprentasi rasa anda buat Bunda anda. Namun setiap penyertaan terbaik daripada kedua-dua projek bakal menerima honorarium daripada ‘The Hanam’, layaknya juga daripada Sang Penglipur Lara ini.

Tips: Hayati kisahnya sebelum menjadi penulis atau pelukis layarnya. Dan tempohnya sekadar dua minggu, berakhir 8 Mei 2011. Selamat berkarya!

  Teruskan membaca, kerana melalui membacalah, kita berkongsi kehidupan di dunia ini.  

Menulis pada layar hidup, 
Sang Penglipur Lara.

Wednesday, April 20, 2011

Novel : Kerana Irhadah (8) & (9)

“Semoga mampu kulawan kesepianku”
Kerana Irhadah, sebuah nukilan adaptasi Hanam Hamid, Seputeh Salju.

 
Hujan lebat menggila. Tanah yang lecah mula membanjir. Dentum guruh dan pancaran kilat sabung menyabung membelah muka bumi. Farizz berdiri di sisi tingkap dengan renung mata yang seakan tenggelam dalam amuk rebut. Daun jendela kayu yang dibiar terbuka berkali-kali menepuk dinding rumah. Riuh hujan memasuki ruang rumah kayu mereka membingitkan suasana. Sesekali terdengar derap tapak kaki Farhan yang berlari-lari anak kesibukan.

“Farizz, kamu buat apa?”

Perlahan suara Mak Dik menegur Farizz yang sedang asyik dilamun angan hilang dalam deru angin dan rebut yang menyalak. Sedar akan panggilannya tak dijawab, Mak Dik menggeleng-geleng kepala perlahan. Didekatinya Farizz yang lena dibuai mimpi realiti hidup, lalu tangan tuanya yang sedikit berisi itu dilampirkan ke atas bahu anak remaja itu.

“Izz, jauh sudah berjalan? Ke mana sudah?”

Farizz berpaling. Dalam kaget disapa Mak Dik, dia mengeluskan senyum tawar.

“Tolong Mak Dik tutupkan jendela boleh? Nanti banjir pula rumah ni”


Sambungnya cepat sebelum senyap sekali lagi membawa fikiran anak itu pergi menjauh. Farizz mengangguk acuh tak acuh. Langkahnya pula tetap cepat mengikut suruhan orang tua itu. Kelibat Farhan yang ke hulu ke hilir menadah titik air yang bercucuran dari zink rumah bocor di sana sini langsung tidak dihiraukannya.

Sudah hampir seminggu Bunda terbaring lemah di atas tilam lusuhnya. Semenjak mereka berdua kembali mengikuti jadual kelas yang bermula pagi ke senja, keadaan Bunda kian tenat. Meski masih bisa bercakap dan berjalan-jalan perlahan ke bilik air serta untuk bersolat, namun kerja berat di rumah langsung payah dilaksanakan oleh tangan lemahnya.

Enam hari yang lalu, seperti kebiasaannya, Farizz bangun terlebih awal sebelum adiknya bangun untuk mandi. Selesai mandi, dilihatnya Bunda terbongkok menyiapkan sarapan pagi untuk mereka. Kole besi berdeting-deting dek terkena sudu besi yang digunakan Bunda mengacau air kopi di dalamnya. Desing minyak masak juga jelas kedengaran. Barangkali, roti sardin menu sarapan pagi itu.

Farhan bangun kemudian, ketika Farizz sedang bersiap untuk solat subuh. Sudah lama juga mereka tidak solat berjemaah bersama setelah Abah tiada. Dulu, setiap kali solat, Abahnya akan kerah semua mereka berjemaah. Kehilangan Abah sebagai ketua keluarga juga melenyapkan seorang Imam jemaah mereka.

Farizz lama berteleku membaca al-Quran tatkala Farhan siap solat dan bermathurat. Farhan cepat sahaja berpakaian seragam sekolah dan menghala ke dapur. Sekejap, suara Farhan menggamat memecah hening pagi. Farizz yang baru menghabiskan ayat terakhir surah al-Waqiah segera berpaling keluar. Nama Bunda yang disebut berkali-kali oleh adiknya menyentap sanubarinya. Lantas, dia berlari ke dapur. Di hadapannya, terkujur tubuh tua Bunda sedang dirangkul Farhan. Tangan yang masih memegang al-Quran, entah di mana hilang waras imannya, terbuka lalu melepaskan kitab suci itu jatuh ke tangga kayu dapur.

Air matanya bergenang. Mak Dik menjadi sayu. Farhan yang sedari tadi sibuk menadah air mata langit yang mengongoi sedih ditikam sedih di hati. Farizz yang selama ini tabah menjalani hari-harinya akhirnya tersungkur jatuh dari tempat dia berdiri tegap. Kedua tangan yang masih meramas penjuru daun jendela melurut jatuh ke hujungnya. Lututnya bersatu dengan lantai rumah sambil mukanya tertunduk menangis.

“Abah.. Abah.. Bunda... Bunda... “


Farizz meratap-ratap sehabisnya. Dalam pekat bunyi hujan, rintihnya lebih deras. Mendayu-dayu alunnya. Lebat hujan yang mencurah, tak terbanding dengan luruhnya air mata Farizz. Farhan yang mulanya senyap mula diburu sendu. Dia berlari ke dapur, sambil air matanya berjuraian turun mengiringi esak Farizz. Mak Dik yang berdiri ditengah-tengahnya, selain rasa sayu yang pasti, ikut tertanam rasa buntu. Apalah daya mereka, apalah nasib mereka.

...

Rasa cepat masa berlalu. Seusai sudah, Abah pergi. Kini, Bunda mula bermimpi mengikut jejak langkah Abah. Rasanya baru semalam, mereka berkebun bersama. Baru semalam mereka berjalan-jalan di atas batas sawah bersama. Rasanya, baru semalam Abah mengejar mereka berdua yang sedang leka mandi-manda di tali air sawah. Rasanya, baru semalam Bunda mengajar mereka membungkus kuih lepat pisang. Rasanya, baru semalam. Semalam ke hari ini, tak pernah dirasa lamanya.

Farizz bergegas dengan langkah seribu keluar daripada bilik guru. Sebentar tadi Mak Dik menelefon ke bilik guru, memberitakan khabar bunda yang tenat kepadanya. Dalam kepalanya ligat membayangkan susuk Bunda yang direntap Malaikat Maut. Mukanya merah menahan air matanya daripada tumpah. Cikgu Wee sudah ditemuinya di bilik guru tadi. Segera dimintanya untuk pulang ke rumah saat itu juga. Pesan Mak Dik meluru masuk ke kepalanya. Sampaikan kisah nasib mereka pada Farhan. Langkahnya melaju ke sekolah Farhan yang cuma sejengkal di sebelah sekolahnya.

“Assalamualaikum, Cikgu. Boleh saya berjumpa dengan Farhan sekejap?”

Ucapnya membelakangi ketukan di pintu kelas. Seisi kelas diam. Puluhan pasang mata memerhati. Cikgu Raziff yang tekun mengajarkan Ilmu Hisab itu turut berpaling. Hairan mengisi sudut kelas.

“Farizz..”

Terkesima dengan kehadiran bekas anak muridnya itu, suara Cikgu Raziff tersekat-sekat di kerongkongnya. Matanya melilau mencari kelibat Farhan. Pelajar lain ikut mencari-cari seakan menurut gerak-geri guru mereka.

“Oh ya, Farhan di bilik Guru Besar. Ada perjumpaan dengan Cikgu Wan Maznah. Ada hal apa ni Farizz, sampai ke sini kamu cari adik kamu?”


Cikgu Raziff berjalan laju ke arah Farizz yang seperti ayam berak kapur itu. Dia sendiri diselimuti tanda tanya yang berlimpah-ruah. Farizz tunduk sesaat. Kemudian, matanya bertembung dengan guru di hadapannya. Dia menggeleng-geleng. Air matanya jatuh setitik. Tangannya lekas mengesat sebelum disedari khalayak.

“Tidak ada apa-apa Cikgu. Tak mengapalah. Saya pergi jumpa dia di sana.”

“Farizz..”

“Terima kasih, Cikgu”


Dia segera meninggalkan guru itu sebelum perbualan itu berjalan jauh ke pangkalnya. Cikgu Raziff yang kenal benar perangai Farizz yang sememangnya pendiam dan suka berahsia itu hanya memandang anak kecil itu berlari meninggalkannya tanpa sebarang kata. Dalam hatinya, rasa kurang enak mencicah hulu hatinya.

...


“Apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti”
Kerana Irhadah, sebuah nukilan adaptasi Hanam Hamid, Seputeh Salju.

 
Farizz berlari-lari anak mencari kelibat Farhan yang tak muncul. Lagaknya tak ubah Siti Hajar yang mencari mata air dalam gersang padang pasir yang saujana. Ketika bersua dengan Cikgu Wan Maznah di bilik Guru Besar tadi, katanya Farhan baru sahaja keluar. Perjumpaan sudah tamat seketika sebelumnya. Wajah Farizz berwarna gelisah dan harapan untuk segera menemui adiknya. Hatinya tak tertahan mengenangkan keadaan Bunda di rumah yang sedang tenat. Sesekali, hati kecilnya sempat memaki hamun adiknya yang entah ke mana menghilangkan diri.

“Abang, Abang cari Farhan kan?”

Tiba-tiba satu suara menegurnya. Ada seorang perempuan berkurung putih berdiri di belakangnya. Matanya cemas dan wajahnya pucat lesi. Ayatnya tersusun gagap. Nafasnya tercungap-cungap. Farhan segera mengangguk. Tiada hela jawapan keluar dengan kerongkongnya menggarau dek menahan sedih yang berlagu di lubuk raganya.

“Dia ada di belakang kantin. Dia... “

Jari budak perempuan itu menunding ke arah kantin sekolah. Bebola matanya tenggelam ke dalam. Ayatnya tak dapat dihabiskan. Malah, lebih cepat Farizz berlari ke situ tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Darahnya berderau, ligat dipam jantung mengelilingi setiap pelusuk tubuh kurusnya. Apa sahaja perlakuan Farhan tatkala itu, tetap memungkinkan pekik marah Farizz kepadanya.

Langkah terakhir sampai ke tempat Farhan berselindung, matanya menangkap tubuh kecil Farhan rebah menyembah bumi. Pipinya yang putih halus menyapu selut tanah yang masih basah angkara hujan semalam. Ada dua lembaga gempal di sisinya. Seorang sedang mencekak pinggang dan bergelak besar, manakala seorang lagi ikut turut sama ketawa sambil tangan kanannya tergenggam dan terhulur ke hadapan. Jelas di hujung bibir Farhan, berkebun darah yang mengalir.

“Woi!!”

Pekiknya barangkali seluruh alam dapat mendengarnya. Dua lembaga itu kaget hingga tubuh mereka yang besar itu terpasak memaku di lantai bumi. Farizz menerpa dan menghadiahkan segenggam buku lima masing-masing pada muka Syafiq dan Farid. Dua budak itu tersembam jatuh. Farid yang sedia hitam kulitnya bertambah gelap tercelup ke dalam longkang di belakang tempat dia berdiri. Syafiq juga turut rebah bila disuapkan penumpuk Farizz. Dengan kudrat yang tinggal, dia bangkit secepatnya dan menarik rakannya, Farid bangun dan meninggalkan Farizz yang sedang bengis menyinga.

Farhan sudah bangun dari rebahnya. Terduduk sambil mengesat lelehan darah di hujung pipinya. Matanya ada marak yang berapi, namun senyap dalam suasana bingit yang dikusutkan dengan babak pertunjukkan abangnya. Dia mengerang-ngerang sedikit meluah rasa sakit yang menghuni susuk badannya.

“Kenapa kau lembik sangat hah? Kalau terjadi lagi nanti, aku takkan pedulikan kau, faham?!”


Farizz jerkah sekuatnya. Farhan menaikkan keningnya ke atas dengan anak matanya menurut ke paras Farizz berdiri. Kekecohan yang berpesta di belakang kantin sekolah itu rupanya telah menarik ramai penonton. Dalam tak sedar, puluhan orang murid sudah penuh mengerumuni tempat kejadian. Tiba-tiba Cikgu Wan Maznah muncul bersama Cikgu Raziff dan beberapa orang guru yang lain daripada keramaian murid-murid yang berkumpul membulati mereka.

“Astaghfirullahalazim... Apa halnya ni?”

Tegur Cikgu Wan Maznah melihat hiruk pikuk suasana di situ. Farizz endah tak endah sahaja pada teguran bekas Guru Besarnya serta persoalan yang keluar daripada guru-guru dan murid-murid yang menonton pertunjukkannya. Dalam ingatannya cuma satu perkara yang berlegar-legar penuh. Bunda! Dia lekas menarik tangan adiknya yang masih bersandar pada sebelah tangannya yang menongkat tanah.

“Ikut aku balik...!”

Tarikannya cukup kuat menyelit celah-celah khalayak. Tiada suara lain yang menegur tingkahnya. Malah, Farhan sendiri tidak berkata apa akan sikap Farizz yang sedang berang itu. Tiada alasan kenapa serta tunggu seketika. Tidak perlu hirau akan beg yang masih ada di kelas, atau pertanyaan gurunya yang masih hilang arah cerita. Mereka dibiar hanyut tanpa berita. Bak layang-layang terputus tali kemudinya. Yang tinggal, cuma sekumpulan murid dan guru yang tertanya-tanya serta dua susuk yang berlarian pulang, dengan seorang daripadanya menjejak khabar Bunda di rumah, manakala seorang yang lain mengatur langkah kaki sekadar mengikut. Berjalan tanpa berhenti.
(bersambung...)




 
 

Sunday, April 17, 2011

Bisik - bisik : Bidadari Dari Timur (Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Illi Sarah Annual Bakri)

Muka Depan.Bidadari Dari Timur (Memoir Isteri Seorang Pejuang) karya Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Illi Sarah Annual Bakri.
Bidadari Dari Timur
(Memoir Isteri Seorang Pejuang)
Oleh : Tuan Sabariah Tuan Ishak (Isteri Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Illi Sarah Annual Bakri
Penerbit : Anbakri Publika Sdn. Bhd. (Annual Bakri Haron)
Edaran : Kemilau Publika Sdn. Bhd.
Cetakan Pertama : April 2009

Muka ke Muka.
Lantera dibuka dengan coretan muka depan dihiasi wajah suci Tuan Sabariah sendiri dengan warna hijau tenang mewarnai latar. Pada nukil tajuk naskah ini hinggap dua ekor burung yang bermadu kasih, menjadi titipan rasa dan kemesraan pasangan Datin Tuan Sabariah dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz yang menjadi pasak cerita memoir ini. Di belakang, wajah pencerita kembali tegak dalam senyuman kasih dan mesra seolah-olah melihat jauh ke alam perkahwinan yang mereka bina. Tutur cerita digarap ringkas sebermula niat dua hati ini bakal disatukan oleh kedua keluarga.

Untai Kata.
Jika di sebalik kejayaan lelaki, pasti ada seorang wanita. Inilah kisahnya...

"Epilog bahagia seorang isteri kepada Ulama serta pemimpin berjiwa besar yang menyentuh nurani..."

Babak Cerita.
Dari satu babak ke satu babak, kisah diadun sangat ringkas dan bersahaja. Dari satu titik ke titik yang lain, pembaca dibawa mengenal cara hidup dan tutur hati seorang wanita bernama Tuan Sabariah Tuan Ishak, daripada mula mengenal cinta yang disuakan keluarga tercinta, pertama kali menjalani hidup sebagai isteri, sehinggalah detik mendapat singgahsana sebagai ibu dan mahkota sebagai seorang isteri kepada Guru, Ulama, Ahli Politik, dan akhirnya Menteri Besar.

Dalam plot masa yang besar satu ke satu yang lain, cetusan memoir Tuan Sabariah yang terlalu ringkas menyebabkan pembaca tidak pernah sempat merasai jiwa yang tersembunyi, malah terasa cepat benar masa berlari. Ada dalam kalangan mereka, babak ditulis sekadar rasa bicara hati yang sukar dijadikan cerita. Lalu pembaca seakan  membaca diari hati tanpa cerita. Nukil kata disusun seolah menyatakan rasa hati, bukan detik pengalaman yang selayaknya diselit dalam sebuah memoir.

Yang cantik pada dasarnya, serta layak pada wataknya, setiap gerak bahasa disematkan kata puitis yang berisi buat menampilkan keindahan cinta dan moral penggeraknya. Setiap 'highlight' dalam cerita dipetik buat menebalkan isi cerita. Malah, yang lebih menyempurnakan ragam cerita ialah sentuhan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadis yang melagui perasaan dan jalan cerita Bidadari Dari Timur ini. Turut menjadi warna nukilan beliau, adanya kata-kata bijak pandai seperti Oryzon Sweat, dan pengajaran sebalik kisah John dan John Jr. Isi hati wanita muslimah ini turut disamakan dengan hasrat menuruti kisah teladan Anbia yang dinyatakan satu demi satu bagai membakar semangat ibu sepuluh anak ini mencari syurga Allah.

Latar cerita selain meluah rasa Tuan Sabariah, pengaruh politik Tuan Guru turut menjadi calitan ke layarnya bagaimana si suami menjalani hidup dan karier politiknya dilihat dan diteliti sepasang mata seorang isteri yang sentiasa di sisinya menemani rentak hidup. Malah, beberapa babak yang menduga hidup keluarga besar mereka diselitkan juga bagi menjelas rasa dan pengalaman pahit bagi seorang wanita bernama isteri dan ibu.

"Sesungguhnya, orang mukmin yang bersabar akan memiliki istana yang lebih gah, agung, kekal, indah dan tidak tercapai dek akal di akhirat kelak..."

Laras Bahasa.
Di sebalik kecantikan cerita yang dijalani Tuan Sabariah, pengaruh bahasa Illi Sarah dilihat mencanting laras bahasa yang sangat puitis dan sedikit kompleks serta luar daripada kebiasaan bahasa rutin. Namun, dalam menulis, bahasa yang digunakan masih boleh difahami dengan mudah serta terarah mengikuti jalan dan isi cerita yang ingin disampaikan mereka. Jelasnya, keindahan yang paling sempurna dapat dirasai dalam mengadun kata-kata paling indah di dunia yakni ayatul Qur'an dan al-Hadith yang turut menjadi alas kebanyakan babak cerita.

Sentuhan Jiwa.
Isi dan kulit nukilan ini paling meruntun kalbu apabila melihat (atau benarnya, membaca) perasaan seorang ibu yang 'kehilangan' anak yang dikasihinya, serta mendengar rintihan kalbu suaminya yang dalam tegap berdiri, namun remuk di sejadah. Pergolakan dan pengenalan perasaan menjadi bunga dalam pokok karya ini. Dan paling penting, ada satu sisi setiap pembaca bakal kenali pada nama Tuan Sabariah, serta suaminya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Putaran waktu bakal menemukan kita dengan cabaran yang lebih besar tatkala meladeni perjuangan yang telah diamanahkan Allah SWT ke atas setiap insan yang mengaku sebagai hambaNya..."

Layar Pengarang.
Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Dilahirkan di Kg. Panchor, Kelantan dalam kalangan keluarga yang sederhana dan berumahtangga bersama Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat ketika berusia 14 tahun. Hasil perkahwinan dikurniakan 10 cahaya mata, berbahagi lima setiap satu, lelaki dan perempuan. Aktif mengemudi kerja-kerja amal melalui Persatuan Purnama dan Wanita Perkim.

Illi Sarah Annual Bakri.
Penulis fiksyen dari kota Kuala Lumpur dan menyayangi kariernya sepenuh hati. Bukan satu nama besar namun punya bakat yang tinggi melangit di samping kebijaksanaannya menulis mengikut keperluan, bukan gerak hati sendirinya. Beliau jugalah Puteri Penukil kepada penerbit Anbakri sendiri iaitu Encik Anual Bakri Haron.

Tuesday, April 12, 2011

Puisi : Yang Masih Tinggal

Yang Masih Tinggal


Yang masih tinggal,
Tika deras angin meranapkan pepohon,
Kerikil-kerikil kecil yang berterbangan,
Di samping amuk hujan yang mengongoi sedih,
Dan pada suram langit yang kemuraman.

Yang masih tinggal,
Saat masa berlari-lari anak,
Umpama Siti Hajar mengejar logamaya,
Dari paksi bumi yang berpasakkan,
Tenggelam timbul dalam lautan hidup,
Adanya kita berlayar kesesatan.

Yang masih tinggal,
Tatkala dia memejamkan matanya,
Berlagu rendah suara air mata,
Kolam bah bukan sekali,
Berjuta jiwa berbahasa Tuhan,
Mengumandangkan sayu.

Yang masih tinggal,
Semasa kasihnya Tuhan pada jiwa insan,
Dilarikan nakhoda daripada kapalnya,
Digelapkan sumbu yang lincah bercahaya,
Kerana bimbang hilang halanya,
Sekelip masa Dia bersuara.

Yang masih tinggal,
Sewaktu kita mengembara bersama,
Sekejap sahaja awan berlalu,
Hilang teduh panaslah cuaca,
Dalam gembira kita terkesima,
Datang duka singgah jua.

Yang masih tinggal,
Bila nyawanya dihela-hela,
Sejuk rasa menyelimuti mungil tubuhnya,
Berantakkan luluh seluruh rasa,
Tak pernah berhenti sendu dan tangis,
Dalam redha jiwa disentuh.

Yang masih tinggal,
Hanyalah harapan bertemu kembali,
Dalam mimpi sebentar,
Atau syurga nanti bila mungkin,
Sekadar melepas rasa rindu,
Pada dia yang telah pergi.

Yang masih tinggal,
Adalah kita yang masih berlayar,
Mengemudi bahtera sendiri,
Menanti masa akan suatu hari,
Kita juga bakal kembali.


Hanam Hamid
13 April 2011
1150pagi.

(mengimbas 11 hari kepemergianmu, Halimah Isa 2 April 2011)

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com