Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Sunday, October 10, 2010

Novel : Kerana Irhadah (3)

"Adakah sebuah kekosongan itu harus dipenuhi dengan isi dendam, ataupun kasih sayang seluas lautan?"
-KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju



Petang sudah menyinsing. Ada burung yang berterbangan merentas sawah tempat dia duduk berteleku. Punggungnya terasa keras dek batu yang terselit di celah tanah tempat dia duduk. Farizz masih bermenung jauh. Ingatannya pada Abah tidak pernah luput. Meski dia tidak pernah tahu apa kaitan Farhan dalam kepemergian Abah, dia tetap meletakkan rasa salah itu padanya. Farhan penyebabnya. Dia tidak peduli mana yang benar mana yang tidak, padanya Farhanlah penyebabnya. Penyebab kepada kematian Abah, sama seperti keperitan Bunda bertahun dulu sebelum Farhan muncul dalam kemeriahan keluarga mereka. Semuanya angkara Farhan!
"Abang! Bunda panggil balik"
Suara itu muncul entah dari mana, tiba-tiba menyapa ke gegendang telinganya. Farizz mengerling sedikit ke tepi. Melihat susuk halus tubuh Farhan berdiri tegak di belakangnya. Ada sekepal sisa kelapa parut dalam besen yang dibawanya. Bergaulan bersama nasi yang kelihatan sudah basi.

"Bunda cakap maghrib-maghrib tak baik..."

"Aku tahulah. Kau pergilah bagi Jalak makan. Nanti aku balik lah."

Farizz cepat memintas sebelum sempat ayat si genit itu dihabiskan. Bagai ada riak pada permukaan wajah Farhan. Farizz masih membatu. Pandangan yang teralih sedikit ke sisi kanan dihala semula menghadap mentari yang makin mencecah ufuk bumi. Farhan tetap tegak berdiri di tempatnya. Dia membuka mulutnya semula.

"Tapi Bunda cakap.."

"Kau diamlah! Jangan sibuk. Aku tampar karang mulut kau tu!"

Senyap dan sepi ketika. Farhan masih tersentak dek tempelak Abangnya. Dia memalingkan wajahnya jauh dan segera berlari ke belakang rumah. Jalak dan keluarganya sudah berhimpun di reban mereka menanti disajikan hidangan malam itu. Farizz mengeluh perlahan. Riuh ayam bertempikan menarik arah ekor matanya ke belakang rumah. Matanya lesu memerhati Farhan yang galak menjamu ayam-ayam peliharaan mereka. Lama memerhati, dia terlihat sepasang mata lain yang turut memerhati Farhan daripada ruang dapur.

Ayam-ayam yang kelaparan mematuk-matuk manja kaki Farhan yang bertumpahan sisa kelapa. Ditambah lari-larian si anak pada kakinya membuatkan Farhan bersorak gembira. Geli hati. Bunda yang masih menetapkan pandangannya pada Farhan turut tergelak kecil. Hati kecil Farizz tiba-tiba disentuh bahagia. Bunda masih mampu tersenyum. Dia lantas bangkit menuju ke arah Farhan.

"Weih! Apa galak sangat maghrib-maghrib ni? Tadi pandai nasihatkan orang, sekarang dia pula yang lebih. Elok biar saja kau disorok hantu"

Suara Farizz mengejutkan Farhan yang leka bermain-main di situ. Bunda terdiam tanpa disedari Farhan. Farizz mengekor pandangannya ke arah Bunda sedikit. Pandangannya beralih semula kepada adik kecil yang berdiri betul-betul di hadapannya.

"Dah, cepat bagi makan. Jom masuk!"

Arahan ringkas segera dituruti Farhan. Dia berlari-lari lekas mengikut langkah panjang abangnya. Sampai di satu sudut kakinya hampir tersadung. Sebelum jatuh, tangannya disambut Farizz. Mata Farizz tepat ke dalam matanya. Farhan melontarkan anak matanya jatuh ke lantai bumi. Tangan yang menggenggam dibiarkan. Segera keduanya berjalan perlahan masuk ke dalam rumah apabila azan maghrib berkumandang.

...

Nasi yang sedikit itu disudip perlahan ke dalam setiap pinggan di hadapannya. Farhan memandang abangnya sedikit gugup. Bunda memandang Farizz dan Farhan bersilih ganti.

"Farizz, tuangkan air untuk semua."

Farizz bangun mengisi air yang berwarna putih ke dalam tiga gelas di atas dulang yang disediakan Bunda. Bunda mengangkat dua tiga bekas yang berisi lauk tengah hari tadi dan ulam yang dipetiknya di belakang rumah. Ulam-ulaman dan sayur-sayuran memang sentiasa ada di belakang rumah mereka. Abah seorang yang rajin berbudi pada tanah. Selain menjimatkan serta tidak membiarkan sahaja tanah yang lapang itu ditumbuhi belukar, Abah juga menjadikan bercucuk tanam sebagai riadah yang menguntungkan bagi mengeluarkan peluh. Hidup mesti sihat kata Abah.

Farhan yang giat menceduk nasi daripada belanga tiba-tiba terpaku sendiri. Matanya tertumpu ke atas lantai simen dapur. Farizz memandangnya hairan. Farhan diam dan bagai diselimuti cuak. Ada butir-butir nasi bertaburan di atas lantai. Farizz menjengil matanya luas.

"Kau kenapa? Apa pasal kau jatuhkan nasi? Kau ingat kita kaya sangat kah nak beli beras hah? Kau ingat beli beras pakai air liur kah? Nanti kau tak payah makan. Makan yang atas lantai tu saja!"

"Farizz! Tak baik bertelagah depan rezeki. Tak pe A'an, ambil nasi dalam pinggan Bunda. Kita kongsi. bunda pun masih kenyang makan cokodok petang tadi."

Farhan mengecilkan kepalanya. Terus dikutip nasi yang bertaburan di atas lantai. Dibuangkan sisa-sisa tadi ke bekas kecil di bawah sinki dapur. Selesai basuh tangan segera dia ke meja makan. Pinggannya masih kekurangan nasi. Bunda yang memandangnya sayu segera menceduk nasi di dalam pinggannya dan dikongsikan ke pinggan Farhan. Farizz mengetap bibir geram.

"Cukup?"

Suaranya kedengaran bengis tetapi mendatar. Farizz menahan cedukkan kedua Bunda daripada memasuki pinggan Farhan.

"Bunda pun makanlah banyak sikit"

Tangannya bertukar tempat dengan Bunda. Dikongsikan separuh nasi dalam pinggannya kepada Farhan. Matanya tetap ke arah adik yang tertunduk takut.

"Kau tu kecil. Kena makan banyak. Nanti orang buli aku tak nak tolong. Pandai-pandailah nak hidup!"

Bunda tersenyum sikit. Anak sulungnya masih punya kasih pada insan halus di hadapannya. Masih ada rasa bertanggungjawab. Dia memegang belakang anak kecilnya sambil senyum diukir manis pada alis bibirnya.

"Dah A'an. Baca doa cepat. Bunda dah lapar ni"

Farhan mendongak. Tangannya dua-dua dirapatkan dan tertadah ke langit. Semua diam dan menghayati halus suara Farhan berdoa.

"Amin.."

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com