“Langit takkan selamanya cerah, itulah janji Tuhan yang Maha Adil”
– KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju.
Cuti sekolah bakal tamat. Esok atau lusa dua beradik itu akan mula bersekolah. Bunda mula bangkit semula daripada sakit yang menguncinya duduk terbaring di lantai rumah. Farizz dan adiknya, Farhan sedang leka menyiapkan kerja sekolah yang masih banyak berlambakkan. Masing-masing duduk meniarap menghadap buku sambil liuk-liuk api pelita menamani sunyi malam mereka. Bunda masih jerih menahan sisa-sisa sakit yang masih menghuni tubuhnya. Di atas kerusi malas di mana suaminya selalu tinggal, dia memerhati dua beradik di hadapannya dengan rasa sayu mengenang nasib yang bakal menarik mereka ke tengah lautan hidup yang mencabar seperti tsunami yang merampas Jepun daripada buminya.
“Eh, nama abang bukan satu Z saja kan?”
Si Adik tiba-tiba bersuara memecah hening malam.
“Ah, sibuklah kau!”
Farhan memandang mata abangnya dengan rasa penuh tidak puas hati. Dia lantas berpaling kepada Bunda yang ralit memerhati mereka.
“Satu saja kan, Bunda?”
Matanya tersinar dek harapan.
“Dua, An.”
“Dua ke?”
Masih tidak puas hati. Abangnya mula jengkel.
“Betul lah dua.”
Bunda menjawab penuh sabar. Senyum menghiasi pipinya yang kian cekung. Farhan mengerutkan dahinya seakan tidak percaya.
“Tapi eja Fariz kan F.A - fa, R.I.Z - riz. Fariz.”
Dia masih berusaha meyakinkan kedua Bunda dan abangnya. Lagaknya penuh rasa percaya kepada pandangannya. Farizz biarkan sahaja, tekun menyelesaikan masalah kira-kira yang sukar diuraikan.
“Hahaha..”
Bunda gelak perlahan. Jauh di sudut hati, rasa bangga memuncak pada kepandaian Farhan.
“Tambah satu lagi Z, samalah dengan nama Bunda kan?”
Bunda menambah. Dia beragak-agak sendiri menyusul akal Farhan yang cuba meneka-neka ejaan itu.
“N.O.U.R-Nour, eh, pelik nama Bunda!”
Gelak Farhan lucu. Bunda senyum. Farizz dalam diam mengerling benci pada Farhan.
“I.Z.-Iz, Z.A.H-Zah. Izzah!”
“Kan?”
Bunda mencungkil isi pencarian Farhan yang masih gigih meneliti makna di sebalik nama abangnya, Farizz. Hujung penanya dilurut-lurut pada pinggir bibir bawahnya. Seketika kemudian dia mengangguk-angguk tanda faham.
“Jadi, I.Z.Z tu nama Bundalah ya?”
Farhan bertanya lagi. Banyak bertanya anak kecil itu menjadikan keletahnya yang kelakar bertambah lucu. Dengan senang, Bunda mengangguk setuju.
“F.A.R pula?”
“Singkatan nama Abah”
Dia menambah. Farhan mengangguk. Masih cuba keluar daripada liku-liku jalan sulit itu. Bunda perasaan, tatkala nama itu disebut, ada jeda yang seketika memberhenti tumpuan Farizz pada kertas soalannya. Sebelum tingkahnya mencuri focus Bunda dan membuahkan soalan yang tak disenanginya, Farizz segera menulis semula. Namun tulisannya menjadi tebal dan keras menekan kertas putih itu. Bunda tunduk sedikit. Rasa sedih pada anak itu.
“F.A.R macam Abah. Oh, samalah dengan nama An!”
Anak itu kelihatan girang.
“Kau kenapa?!”
Jerkah Farizz terperanjat dengan lantang jeritan adiknya. Bunda cepat berpaling kea rah Farizz supaya berlembut.
“Farhan, perlahankan sedikit suara. Abang tengah belajar tu.”
Suaranya melentukkan rasa dua beradik yang beradrenalin tinggi itu.
“Tapi kan Bunda...”
Farhan menambah lagi. Kali ini suaranya jauh lebih perlahan daripada sebelumnya. Kerutnya lebih bersimpangan.
“Kenapa An?”
Bunda cuba membantu.
“Mana adik dapat H.A.N?”
Duk! Tersentap dia mendengar pertanyaan Farhan. Jawapan yang dia ada, bakal menimbulkan rasa yang lebih menggerunkan lagi. Sejarah hitam mula memekat semula. Mukanya terus tertarik masam dan mencuka. Sakit dan perit menggiling lubuk sanubarinya. Diamnya lama. Farhan masih menanti jawapan daripadanya dengan sabar. Masih diam dalam angannya, Farizz yang mulanya leka menelaah akhirnya menghala kepadanya. Misteri menyelubungi mereka. Kisah dulu, dibuka semula. Menyesakkan dadanya yang sudah pun lemas tenggelam.
(bersambung...)
No comments:
Post a Comment