Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Wednesday, April 20, 2011

Novel : Kerana Irhadah (8) & (9)

“Semoga mampu kulawan kesepianku”
Kerana Irhadah, sebuah nukilan adaptasi Hanam Hamid, Seputeh Salju.

 
Hujan lebat menggila. Tanah yang lecah mula membanjir. Dentum guruh dan pancaran kilat sabung menyabung membelah muka bumi. Farizz berdiri di sisi tingkap dengan renung mata yang seakan tenggelam dalam amuk rebut. Daun jendela kayu yang dibiar terbuka berkali-kali menepuk dinding rumah. Riuh hujan memasuki ruang rumah kayu mereka membingitkan suasana. Sesekali terdengar derap tapak kaki Farhan yang berlari-lari anak kesibukan.

“Farizz, kamu buat apa?”

Perlahan suara Mak Dik menegur Farizz yang sedang asyik dilamun angan hilang dalam deru angin dan rebut yang menyalak. Sedar akan panggilannya tak dijawab, Mak Dik menggeleng-geleng kepala perlahan. Didekatinya Farizz yang lena dibuai mimpi realiti hidup, lalu tangan tuanya yang sedikit berisi itu dilampirkan ke atas bahu anak remaja itu.

“Izz, jauh sudah berjalan? Ke mana sudah?”

Farizz berpaling. Dalam kaget disapa Mak Dik, dia mengeluskan senyum tawar.

“Tolong Mak Dik tutupkan jendela boleh? Nanti banjir pula rumah ni”


Sambungnya cepat sebelum senyap sekali lagi membawa fikiran anak itu pergi menjauh. Farizz mengangguk acuh tak acuh. Langkahnya pula tetap cepat mengikut suruhan orang tua itu. Kelibat Farhan yang ke hulu ke hilir menadah titik air yang bercucuran dari zink rumah bocor di sana sini langsung tidak dihiraukannya.

Sudah hampir seminggu Bunda terbaring lemah di atas tilam lusuhnya. Semenjak mereka berdua kembali mengikuti jadual kelas yang bermula pagi ke senja, keadaan Bunda kian tenat. Meski masih bisa bercakap dan berjalan-jalan perlahan ke bilik air serta untuk bersolat, namun kerja berat di rumah langsung payah dilaksanakan oleh tangan lemahnya.

Enam hari yang lalu, seperti kebiasaannya, Farizz bangun terlebih awal sebelum adiknya bangun untuk mandi. Selesai mandi, dilihatnya Bunda terbongkok menyiapkan sarapan pagi untuk mereka. Kole besi berdeting-deting dek terkena sudu besi yang digunakan Bunda mengacau air kopi di dalamnya. Desing minyak masak juga jelas kedengaran. Barangkali, roti sardin menu sarapan pagi itu.

Farhan bangun kemudian, ketika Farizz sedang bersiap untuk solat subuh. Sudah lama juga mereka tidak solat berjemaah bersama setelah Abah tiada. Dulu, setiap kali solat, Abahnya akan kerah semua mereka berjemaah. Kehilangan Abah sebagai ketua keluarga juga melenyapkan seorang Imam jemaah mereka.

Farizz lama berteleku membaca al-Quran tatkala Farhan siap solat dan bermathurat. Farhan cepat sahaja berpakaian seragam sekolah dan menghala ke dapur. Sekejap, suara Farhan menggamat memecah hening pagi. Farizz yang baru menghabiskan ayat terakhir surah al-Waqiah segera berpaling keluar. Nama Bunda yang disebut berkali-kali oleh adiknya menyentap sanubarinya. Lantas, dia berlari ke dapur. Di hadapannya, terkujur tubuh tua Bunda sedang dirangkul Farhan. Tangan yang masih memegang al-Quran, entah di mana hilang waras imannya, terbuka lalu melepaskan kitab suci itu jatuh ke tangga kayu dapur.

Air matanya bergenang. Mak Dik menjadi sayu. Farhan yang sedari tadi sibuk menadah air mata langit yang mengongoi sedih ditikam sedih di hati. Farizz yang selama ini tabah menjalani hari-harinya akhirnya tersungkur jatuh dari tempat dia berdiri tegap. Kedua tangan yang masih meramas penjuru daun jendela melurut jatuh ke hujungnya. Lututnya bersatu dengan lantai rumah sambil mukanya tertunduk menangis.

“Abah.. Abah.. Bunda... Bunda... “


Farizz meratap-ratap sehabisnya. Dalam pekat bunyi hujan, rintihnya lebih deras. Mendayu-dayu alunnya. Lebat hujan yang mencurah, tak terbanding dengan luruhnya air mata Farizz. Farhan yang mulanya senyap mula diburu sendu. Dia berlari ke dapur, sambil air matanya berjuraian turun mengiringi esak Farizz. Mak Dik yang berdiri ditengah-tengahnya, selain rasa sayu yang pasti, ikut tertanam rasa buntu. Apalah daya mereka, apalah nasib mereka.

...

Rasa cepat masa berlalu. Seusai sudah, Abah pergi. Kini, Bunda mula bermimpi mengikut jejak langkah Abah. Rasanya baru semalam, mereka berkebun bersama. Baru semalam mereka berjalan-jalan di atas batas sawah bersama. Rasanya, baru semalam Abah mengejar mereka berdua yang sedang leka mandi-manda di tali air sawah. Rasanya, baru semalam Bunda mengajar mereka membungkus kuih lepat pisang. Rasanya, baru semalam. Semalam ke hari ini, tak pernah dirasa lamanya.

Farizz bergegas dengan langkah seribu keluar daripada bilik guru. Sebentar tadi Mak Dik menelefon ke bilik guru, memberitakan khabar bunda yang tenat kepadanya. Dalam kepalanya ligat membayangkan susuk Bunda yang direntap Malaikat Maut. Mukanya merah menahan air matanya daripada tumpah. Cikgu Wee sudah ditemuinya di bilik guru tadi. Segera dimintanya untuk pulang ke rumah saat itu juga. Pesan Mak Dik meluru masuk ke kepalanya. Sampaikan kisah nasib mereka pada Farhan. Langkahnya melaju ke sekolah Farhan yang cuma sejengkal di sebelah sekolahnya.

“Assalamualaikum, Cikgu. Boleh saya berjumpa dengan Farhan sekejap?”

Ucapnya membelakangi ketukan di pintu kelas. Seisi kelas diam. Puluhan pasang mata memerhati. Cikgu Raziff yang tekun mengajarkan Ilmu Hisab itu turut berpaling. Hairan mengisi sudut kelas.

“Farizz..”

Terkesima dengan kehadiran bekas anak muridnya itu, suara Cikgu Raziff tersekat-sekat di kerongkongnya. Matanya melilau mencari kelibat Farhan. Pelajar lain ikut mencari-cari seakan menurut gerak-geri guru mereka.

“Oh ya, Farhan di bilik Guru Besar. Ada perjumpaan dengan Cikgu Wan Maznah. Ada hal apa ni Farizz, sampai ke sini kamu cari adik kamu?”


Cikgu Raziff berjalan laju ke arah Farizz yang seperti ayam berak kapur itu. Dia sendiri diselimuti tanda tanya yang berlimpah-ruah. Farizz tunduk sesaat. Kemudian, matanya bertembung dengan guru di hadapannya. Dia menggeleng-geleng. Air matanya jatuh setitik. Tangannya lekas mengesat sebelum disedari khalayak.

“Tidak ada apa-apa Cikgu. Tak mengapalah. Saya pergi jumpa dia di sana.”

“Farizz..”

“Terima kasih, Cikgu”


Dia segera meninggalkan guru itu sebelum perbualan itu berjalan jauh ke pangkalnya. Cikgu Raziff yang kenal benar perangai Farizz yang sememangnya pendiam dan suka berahsia itu hanya memandang anak kecil itu berlari meninggalkannya tanpa sebarang kata. Dalam hatinya, rasa kurang enak mencicah hulu hatinya.

...


“Apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti”
Kerana Irhadah, sebuah nukilan adaptasi Hanam Hamid, Seputeh Salju.

 
Farizz berlari-lari anak mencari kelibat Farhan yang tak muncul. Lagaknya tak ubah Siti Hajar yang mencari mata air dalam gersang padang pasir yang saujana. Ketika bersua dengan Cikgu Wan Maznah di bilik Guru Besar tadi, katanya Farhan baru sahaja keluar. Perjumpaan sudah tamat seketika sebelumnya. Wajah Farizz berwarna gelisah dan harapan untuk segera menemui adiknya. Hatinya tak tertahan mengenangkan keadaan Bunda di rumah yang sedang tenat. Sesekali, hati kecilnya sempat memaki hamun adiknya yang entah ke mana menghilangkan diri.

“Abang, Abang cari Farhan kan?”

Tiba-tiba satu suara menegurnya. Ada seorang perempuan berkurung putih berdiri di belakangnya. Matanya cemas dan wajahnya pucat lesi. Ayatnya tersusun gagap. Nafasnya tercungap-cungap. Farhan segera mengangguk. Tiada hela jawapan keluar dengan kerongkongnya menggarau dek menahan sedih yang berlagu di lubuk raganya.

“Dia ada di belakang kantin. Dia... “

Jari budak perempuan itu menunding ke arah kantin sekolah. Bebola matanya tenggelam ke dalam. Ayatnya tak dapat dihabiskan. Malah, lebih cepat Farizz berlari ke situ tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Darahnya berderau, ligat dipam jantung mengelilingi setiap pelusuk tubuh kurusnya. Apa sahaja perlakuan Farhan tatkala itu, tetap memungkinkan pekik marah Farizz kepadanya.

Langkah terakhir sampai ke tempat Farhan berselindung, matanya menangkap tubuh kecil Farhan rebah menyembah bumi. Pipinya yang putih halus menyapu selut tanah yang masih basah angkara hujan semalam. Ada dua lembaga gempal di sisinya. Seorang sedang mencekak pinggang dan bergelak besar, manakala seorang lagi ikut turut sama ketawa sambil tangan kanannya tergenggam dan terhulur ke hadapan. Jelas di hujung bibir Farhan, berkebun darah yang mengalir.

“Woi!!”

Pekiknya barangkali seluruh alam dapat mendengarnya. Dua lembaga itu kaget hingga tubuh mereka yang besar itu terpasak memaku di lantai bumi. Farizz menerpa dan menghadiahkan segenggam buku lima masing-masing pada muka Syafiq dan Farid. Dua budak itu tersembam jatuh. Farid yang sedia hitam kulitnya bertambah gelap tercelup ke dalam longkang di belakang tempat dia berdiri. Syafiq juga turut rebah bila disuapkan penumpuk Farizz. Dengan kudrat yang tinggal, dia bangkit secepatnya dan menarik rakannya, Farid bangun dan meninggalkan Farizz yang sedang bengis menyinga.

Farhan sudah bangun dari rebahnya. Terduduk sambil mengesat lelehan darah di hujung pipinya. Matanya ada marak yang berapi, namun senyap dalam suasana bingit yang dikusutkan dengan babak pertunjukkan abangnya. Dia mengerang-ngerang sedikit meluah rasa sakit yang menghuni susuk badannya.

“Kenapa kau lembik sangat hah? Kalau terjadi lagi nanti, aku takkan pedulikan kau, faham?!”


Farizz jerkah sekuatnya. Farhan menaikkan keningnya ke atas dengan anak matanya menurut ke paras Farizz berdiri. Kekecohan yang berpesta di belakang kantin sekolah itu rupanya telah menarik ramai penonton. Dalam tak sedar, puluhan orang murid sudah penuh mengerumuni tempat kejadian. Tiba-tiba Cikgu Wan Maznah muncul bersama Cikgu Raziff dan beberapa orang guru yang lain daripada keramaian murid-murid yang berkumpul membulati mereka.

“Astaghfirullahalazim... Apa halnya ni?”

Tegur Cikgu Wan Maznah melihat hiruk pikuk suasana di situ. Farizz endah tak endah sahaja pada teguran bekas Guru Besarnya serta persoalan yang keluar daripada guru-guru dan murid-murid yang menonton pertunjukkannya. Dalam ingatannya cuma satu perkara yang berlegar-legar penuh. Bunda! Dia lekas menarik tangan adiknya yang masih bersandar pada sebelah tangannya yang menongkat tanah.

“Ikut aku balik...!”

Tarikannya cukup kuat menyelit celah-celah khalayak. Tiada suara lain yang menegur tingkahnya. Malah, Farhan sendiri tidak berkata apa akan sikap Farizz yang sedang berang itu. Tiada alasan kenapa serta tunggu seketika. Tidak perlu hirau akan beg yang masih ada di kelas, atau pertanyaan gurunya yang masih hilang arah cerita. Mereka dibiar hanyut tanpa berita. Bak layang-layang terputus tali kemudinya. Yang tinggal, cuma sekumpulan murid dan guru yang tertanya-tanya serta dua susuk yang berlarian pulang, dengan seorang daripadanya menjejak khabar Bunda di rumah, manakala seorang yang lain mengatur langkah kaki sekadar mengikut. Berjalan tanpa berhenti.
(bersambung...)




 
 

No comments:

Post a Comment

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com