Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Wednesday, February 23, 2011

Novel : Kerana Irhadah (5)

"Dalam sebuah muara hidup, adakah bercampuran dua air berlainan asal dan asinnya?"

    -KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
    nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju


Senja menyapu awan sekali lagi dengan jingga yang membara. Mentari yang mengecat hujung ufuk dengan warna yang lebih terang, dan lautan yang dapat dilihatnya daripada situ terbayang warna yang serupa. Muara sungai tempat dia berdiri mengalir perlahan. Sudut akalnya beringat-ingat sendiri pesan Abah ketika sampai di muara ini. Meskipun bersatu dua hujung sungai dan laut, airnya tidak pernah bercampur antara satu sama lain. Masing-masing menjaga ruang dan sempadan masing-masing. Tidak lebih, tidak kurang. Cukup pada tempatnya. Ada barangkali sudah begitu ketentuanNya. Seperti lakar ayat yang disusun dalam firmanNya dalam Surah Al-Rahman, ayat 19 dan 20: "Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu; Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya."

Farizz mencungkil pepasir halus yang membasah dan melekat sesama mereka dengan ranting kecil yang dipatahkannya dari dahan pohon rhu yang merendang di pesisir pantai itu. Bundanya menghilang entah ke mana bersama Farhan yang masih kelihatan bodoh daripada usianya yang sudah akhil baligh itu. Manja sangat dengan Bundanya. Farizz mengetap bibirnya geram. Tangannya kuat menguis lantai pantai yang mula becak dengan rebahan ombak. Berdikit geramnya menerobos, ranting kecil di tangannya tersentap patah. Kaget timbul. Matanya membulat.

"Hati kita macam ranting itulah. Apabila marah memuncak, patahlah ia kerana rakus."

Wajah Abah menyelinap masuk ke ruang pandangannya. Farizz menutup matanya rapat. Enggan melihat lelaki itu. Wajah itu mahu dia lupakan. Rasa pedih dikhianati Abahnya. Ditahan perasaan itu lama. Semakin rapat matanya dipejamkan, semakin dekat rindu berlari ke hatinya. Terketar-ketar tubuhnya menahan rasa yang memuncak. Hela nafas abah terasa semakin akrab menyentuh deria rasanya. Dia bangkit laju. Dia deras memeluk tubuh di hadapannya. Rasa rindu pada Abah terpunggah.Tiba-tiba terasa kecil tubuh yang dipeluknya.

"Abang.."

Matanya dibuka dengan tangkas. Secepat kilat, pelukannya dilonggarkan. Tangan yang asalnya lembut merangkul tubuh kecil itu sepantas itu juga menolak keras ramping susuk Farhan. Bedebuk bunyinya. Jatuh Farhan tidak menyakitkannya selain rasa hairan dengan laku Farizz yang luar biasa itu.

“Farizz!”

Daripada jauh pekikan suara Bunda berlari menendang gegendang telinga Farizz. Dia sentap sendiri. Bengis masih menghias alis mata dan tebing bibirnya. Merah menyinga. Menyeringai hingga bulu-bulu romanya tegak bercancang. Bunda sepelaung jaraknya perlahan-lahan cuba sampai ke destinasi dua anak kecil itu beraksi. Kening atas dua matanya berkerut-kerut melebihkan jumlah kedut di raut muka tuanya. Dengan segera, Farhan dibangunkannya lalu disapu debu-debu pantai yang mengerumuni sekitar tubuhnya yang mencumbui pasir pantai.

“Kenapa Izz buat Adik macam tu? Tak baik!”

Marahnya suam. Masih pelik dengan tindakan anak sulungnya.

“Dialah... kenapa peluk Izz tiba-tiba? Gila ke?”

“Farizz! Jaga kata kamu!” Bengang mula menghangatkan amarahnya.

“Tapi Abang yang peluk Adik dulu...”

“Ah, kau diam! Siapa nak peluk kau?! Kau bukan adik aku! Kau anak...”

“Cukup Farizz! Bunda kata cukup!” Panas mula marak membakar setiap sumbu sabarnya.

Farhan masih diam. Dia berdiri tegak sambil matanya merenung Farizz dengan rasa tidak cukup. Farizz menjeling tajam menikam lantai bumi. Dia mendengus marah. Langkah dibukanya seribu seperti kakinya mampu menghujan menikam pasak bumi. Bunda bangkit daripada lututnya yang rebah. Kepalanya menggeleng-geleng perlahan. Nafasnya merungut keluar daripada lubang hidungnya panas. Sekilas matanya menangkap kelibat Farhan, anak kecil itu cuba membuka mulut menyatakan penjelasan yang mungkin.

“Tak apa An, Bunda faham. Mari kita beransur.” Lembut dan santun suara Bunda memujuk anak bongsunya.

Farhan mengangguk perlahan. Senyum mula terletak semula. Tangan tua Bunda yang menguja disambutnya baik. Tangan yang satu lagi dihayunkannya keanak-anakan. Dua beranak itu pulang daripada sebuah lawatan yang wajib bagi Bunda, mengikuti jejak Farizz yang mula kecil jauh dari mereka. Dalam suka Bunda menonton keletah Farhan, hatinya menyimpan duka, peristiwa yang telah ditelaahnya bakal menyosot babak cerita keluarga kecilnya.


 (bersambung...)

No comments:

Post a Comment

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com