Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Tuesday, September 28, 2010

Novel : Kerana Irhadah (2)

"Setiap langit akan dikunjung mendung, bertukar gerimis, menjadi hujan dan beralih ke ribut. Adakah pelangi masih setia mewarnai dadanya?"
-KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju

DIA buat lagi. Kali ini alasan yang berbeza. Kasihan pada tubuh kecil Farhan. Dia mendongak ke arah langit yang sudah pekat kelabu. Air matanya memberat di bibir mata. Terkedek-kedek dia berjalan. Sesekali berlari-lari anak mengelilingi blok kelas Tingkatan Satu. Kelibat Fariz masih belum menegur pandangannya. Letih berdiri, dia menunggul seketika. Penat menanti, sekali lagi beg sekolahnya dikilas ke atas pundak, berdiri dengan hujung kakinya terjinjing mengangkat badannya. Mana sahaja abangnya pergi.

Hujan mula berderaian jatuh. Air matanya masih bertahan. Dia duduk diam bersendiri. Barang kali petang sudah menjengah tiba. Kebanyakkan murid sudah pulang ke rumah masing-masing. Begitu juga guru-guru kerana tiada kelas tambahan pada hari ini seperti hari-hari biasanya. Dia kian merasa sunyi. Di parkir kereta, hanya ada sebuah kereta Proton Saga merah milik Penolong Kanan I yang tinggal. Farhan masih cuba bertahan, namun di ceruk benaknya,tangisan sudah lama berkumandangan. Setabah mana dia, budak yang baru berusia 12 tahun itu sudah melekatkan wajah mencuka di raut depannya. Teriaknya ditahan sebolehnya.

Abah dan Bunda tak juga muncul seperti biasa. Dia masih ingat, setiap kali Farizz mengamuk meninggalkan dia atau pun atas sebab kelas tambahan yang dijalaninya, sekurang-kurangnya Abah dan Bunda akan juga tiba menjemputnya pulang meski senja sudah berlabuh. Kali ini, dengan gerimis yang sudah pun bertukar ribut, tiada siapa yang peduli. Jiwa kanak-kanaknya mula berfikir jauh. Kekusutan mengaburi akal warasnya. Serasa Abah dan Bunda juga sudah tidak sayangkan dia lagi seperti mana Farizz sering nyatakan. Kolam air matanya mula gelisah. Penahannya pecah sudah. Dia nekad. Akhirnya dia mengangkat beg galasnya yang berat itu ke bahu dan berlari meredah hujan.

"Farhan! Awak nak ke mana tu?"

Satu suara garau bersilih keluar daripada dentum guruh yang kuat. Dia menoleh ke belakang. Hujan masih setia membasahi tubuh mungil Farhan. Mulutnya terkunci.

"Kenapa awak tak balik lagi? Mana abang awak? Ayah awak tak datang jemput awak?"

Bertalu soalan keluar daripada mulut Cikgu Raziff, PK I merangkap Guru Disiplin sekolah. Tangannya ternguit-nguit memanggil Farhan dekat.

"Mari cikgu hantarkan. Mari!"

Farhan berlari cepat meredah lebat hujan yang mengganas memukul bajunya lencun, menuju ke tempat Cikgu Raziff berdiri. Air matanya lesap bersama hujan yang sama membasahi muka dan kepalanya. Cikgu Raziff menggeleng kepalanya perlahan. Rasa simpati terbit tanpa diminta. Sekejap, dia masuk ke kereta Saganya mengambil sekeping tuala kecil dan diajukan kepada Farhan.

"Lap sikit kepala awak tu. Basahkan dengan air paip dulu. Nanti awak demam."

Farhan mengikut perlahan tanpa banyak suara yang keluar. Takut pada cikgu yang terkenal garangnya itu tidak pernah ada. Malah, simpati dan prihatin gurunya itu lebih kuat menghuni jiwa kecil Farhan. Seraya itu, mereka berdua masuk ke kereta dan dipandu laju oleh Cikgu Raziff ke rumahnya.

...

Sampai di rumahnya yang kecil, kelihatan orang ramai berkumpul. Ada makcik-makcik yang sering datang ke rumahnya bertaranum dan berzanji Bunda. Tapi mereka tidak memakai baju kurung putih seperti selalunya. Tidak lawa seperti biasa. Terlalu ringkas. Ada juga rakan-rakan Abah dan beberapa orang kampung duduk termangu diam di beranda depan rumah. Farhan cepat mengerling apabila melihat kelibat Farizz berdiri sendirian di bawah pokok rambutan dalam pakaian seragam. Marah Farhan singgah. Merasuk jiwanya yang telah lama memendam rasa. Dia lantas membuka pintu dan berginjak keluar.

"Terima kasih banyak-banyak, Cikgu"

Belum pun sempat ucapan itu dibalas Raziff, Farhan telah berlari meluru ke arah Farizz yang leka menghias sugul di parasnya yang mulus itu. Hujan masih suka bermain di bumi, mega masih berarak kelam.

"Sial! Kau tinggal aku! Kau tinggal aku sorang-sorang!"

Marahnya marak. Titis air hujan tak bisa memadam amarahnya. Jiwanya tak jadi sejuk. Tangannya dikepal erat memukul dada Farizz bertubi-tubi. Sakit hatinya meliar memberinya gagah membalas rasa. Farizz diam. Matanya terus menikam tubuh kecil Farhan. Tiba-tiba, kebencian terbit, Farizz menolak Farhan kasar ke tanah.

"Semua sebab kaulah sial! Kau yang bawa sial! Abah pergi sebab kau! Sama sebab ibu kau dulu!"

Farizz menengking adiknya kuat. Halilintar sendiri bagai terpaku mendengar suara Farizz yang cuba melawan deras suaranya. Orang ramai mula mencuri pandangan. Masing-masing terkesima melihat drama dua beradik itu. Cikgu Raziff yang masih dekat dengan mereka segera menerpa. Matanya membulat ke arah Farizz. Dihulurka bantuan kepada Farhan yang masih kaget di atas tanah yang sedang lecak angkara ditumbuk dek hujan yang melebat.

"Apa awak cakap ni, Farizz? Tak baik!"

Farizz murka. Dia berpaling dan terus berlari jauh daripada mereka. Farhan dibangunkan perlahan. Raziff bertambah sayu melihat anak kecil yang belum pun mengenal erti dunia. Dia masih dapat melihat kelibat Farizz yang berlalu pergi dengan langkah seribu. Pada firasatnya, Farizz juga dihimpit sedih. Dia memapah Farhan ke rumahnya. Orang ramai membuka ruang. Semuanya menumpangkan rasa sayu.

...

Tangisan Farhan terhenti. Esakannya yang perlahan termati terus. Dia melihat tepat figura di hadapannya. Ada sekujur tubuh dibaluti kain putih tak bergerak. Bunda sedang dirundum tangis. Esaknya lebih kuat daripada dia. Farhan segera berlari ke tubuh yang kaku dipeluk Bunda itu. Dia kemudiannya meraung kuat.

"Abah! Abah! Abah!"

Suram yang diwarnai kelam mendung bertambah legap. Tetangga yang hadir ikut terasa. Mak Dek, jiran sebelah rumah lekas mengangkat susuk Farhan yang erat memeluk Abahnya. Tangannya didakap lebih ketat. Dia gagahi juga melawan kudrat Mak Dek yang cuba meleraikan pelukannya. Sesekali dia menepis benci dengan tangan Mak Dek yang mengganggu.

Bunda mendekatkan mulutnya ke telinga Farhan. Dia berbisik perlahan. Lembut dan sepenuh kasih. Sambil tangannya disuakan pada bahu Farhan. Dia berjaya meleraikan Farhan. Kini, Farhan dalam dakapannya pula. Sedih bercambah lagi. Berbunga pilu.

Malas melayan keperitan yang menghukum benaknya, Bunda bangkit dengan Farhan masih melekat di sisinya. Dia memujuk Farhan perlahan. Kosong. Masih tak berginjak pergi. Sekali lagi mencuba. Masih tak berjaya. Dia berjalan perlahan. Sakitnya masih terasa, dan Farhan masih tetap enggan berpisah.

"A'an..lepaskan Bunda. Bunda nak tolong Mak Dek sediakan minuman. Kan ramai tetamu datang tu. Tak baik biar mereka dahaga."

Bunda mencari alasan. Kasih pada Farhan tetap tebal. Seperti mana janjinya pada suaminya, dia akan kekalkan begitu. Kasih sepanjang usianya.

"BAMM!" Tolakan kedua menjatuhkan Farhan sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Tolakan beserta penumbuk besi singgah ke perutnya.

"Kau jangan nak mengada-ngada! Ini Bunda aku! Bukan kau punya! Pergi kau, sial!"

"Izz!"

Bunda menjerit perlahan menghentikan laungan Farizz yang ganas meratah Farhan. Farizz masih belum diam. Mulutnya kembali terbuka. Namun, sebelum sempat suara dibawa keluar daripada rongga tekaknya, sebelah tangan Bunda terlebih dahulu hinggap ke pipi Farizz.

Semua yang ada tersentak. Diam seluruh isi rumah kecuali ribut yang masih cuba berkuasa menawan suasana. Drama ini terlalu melampau baginya. Cukup-cukuplah! Farizz terkunci terus. Anak matanya memanah tepat ke mata Farhan.

"Aku benci kau!"

Suaranya terlekat di kerongkong. Dia berlari pergi. Farhan masih terjelepuk di lantai. Bunda pula mengeluh perlahan. Dia tunduk dan beristighfar panjang. Farhan bangun cepat. Tiada esak yang keluar. Seraya Bunda mengerling ke arahnya, Farhan berlalu ke bilik tidur yang dikongsinya bersama Farizz. Bunda berlalu ke dapur, membiarkan khalayak bersimpati dalam diam.

Mungkin hujan kian lebat malam ini..

(bersambung)

No comments:

Post a Comment

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com