Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Wednesday, January 12, 2011

Monolog : Putus Sudah Kasih Sayang

Putus Sudah Kasih Sayang

Berlegar-legar dalam ruang rongga telinga yang dua ini, bait kata lagu indah seniman terunggul negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang satu ini. Longgar rasa jiwa dalam kekalutan yang berpusu-pusu memenuhi hari.

"..putus sudah kasih sayang, ikatan asmara hancur berderai-derai, apakah dosaku?, apakah salahku?, kau hancurkan jambatan asmara.."

"..oh sampai hati engkau pergi, tinggalkan padaku racun berbisa, membara di dada oh membakar di hati, hingga kering layu berdebu.."


layar hidup kita berbeza-beza. daripada segenap ruang kita cuba lapiskan dengan kasih sayang. kalau hilang satunya dihakis, lemahlah jiwa kita. cerita seorang penanti cinta yang setia, menunggu terlalu lama meraih cinta. selama mempertahankan hati dan perasaan, berkali-kali dia dihukum dengan kekecewaan. menangis siang dan malamnya, tanda sedih dan kasih sayang pada mereka yang telah pun meluluhkan hatinya. simpati bertamu di kalbu. harap dia segera sembuh. agar dia segera sedar. kehadiran cinta yang lebih agung. ada kasih sayang Tuhan yang lebih murah untuk diberi, lebih mahal untuk dirasai. percayalah hikmah pada takdirnya.


layar berlabuh dalam hidup. menutup perasaan menjadikan kita berduka cita. alahai, nikmat Tuhan manakah yang kita dustakan?

sepasang mata yang mengalirkan kalinya, jangan ditangisi pada yang menzalimi, tetapi padaNya yang sentiasa mengasihi.


Astaghfirullah. Janganlah bersedih, saudari.
Saya doakan anda bahagia. Putus kasih sayang ini, sambunglah sebaik-baiknya dengan Dia.
Bukankah daripadaNya, sebaik-baik Kasih Sayang?

Tuesday, January 11, 2011

MESEJ DARIPADA TEMAN YANG SEJATI.

MESEJ DARIPADA TEMAN YANG SEJATI.    
Dia tak pernah sebegitu. Muncungnya panjang sekali. Aku pun tak tahu kenapa dia jadi begitu. Yang aku pasti dia mula tak menyapa aku pagi tadi. Seperti biasa, dia akan ke bilik aku mengejutkan aku bangun ke kuliah. Dan seperti kebiasaannya, apabila bertembung dengan kuliah waktu awal pagi seawal  pukul 8.00 pagi, pastinya memohon pengorbanan aku bangun dari pukul 7.00 pagi lagi memandangkan kolej kediaman kami agak jauh dari pusat pengajian. Perjalanan biasanya memakan masa paling cepat 30minit. Dan dia biasanya dari pukul tujuh lagi tercegat di depan pintu bilikku, mengejutkan aku agar tak terlewat ke kuliah. 

Pagi ini, aku tak mengubah suatu perkara pun. Aku masih lagi liat, dan perkara ini memendekkan akal aku untuk ke kuliah awal pagi itu. Dia giat menggerakkan tubuhku yang longlai dalam litupan selimut hijau lembut hadiah daripada ibu aku dari kampung. Sebaik sahaja aku menggeleng kepala menandakan aku malas ke kuliah hari itu, mukanya berubah. Marah barangkali. Aku tak pernah pun ambil kisah tentang marahnya. Dia akhirnya melangkah meninggalkan aku yang masih berhibernasi seperti beruang kutub itu.  

Pukul 11 pagi baru aku mula menghayun kaki ke pusat pengajian kami. Aku hanya nampak dia dari jauh. Juga seperti selalunya, dia berada jauh di depan sedangkan aku agak terperosok jauh ke belakang dewan kuliah. Habis sahaja kuliah biodiversiti tumbuhan, aku berjalan perlahan mendekatinya dan Halim yang juga belajar dalam kelas yang sama untuk subjek bahasa inggeris, kelas seketika nanti. Nampak sahaja wajah aku, Halim menyapa laju, bertanya tentang projek yang belum pun aku laksanakan. Faham dengan jawapan yang bakal aku katakan, Halim laju menyindir. Mukanya meriakkan kemanisan bergurau. Tapi berbeza dengan teman di sebelahnya. Dia tak menegurku waima dengan sepatah kata pun. Mukanya kelat mencuka. Aku cuba berseloroh perlahan. Bagai berbisik sahaja ke telinganya. Sama ada dia dengar atau tidak aku tak pasti. Tapi yang jelas, dia menarik muka jauh. Pasti dia tak senang. Kenapa ya?  

Waktu kelas bahasa Inggeris selama 2 jam amat membosankan. Selalunya tak sebegini. Mungkin kerna selalunya, aku dan dia sentiasa menunjukkan telatah dan ragam masing-masing. Tak hairanlah kami amat terkenal dibandingkan pelajar lain. Halim juga kadang-kadang turut mencelah. Cuma hari ini Halim sibuk menyiapkan kerja projek yang terbengkalai walaupun seharusnya itu tugas aku. Dia diam sekali hari ini. Sunyi dan membuatkan hati aku sedikit kesit. Entahlah.aku makin keliru. Tak faham.  Kelas habis agak awal dari selalunya. Aku berjalan perlahan membuntuti Halim. Budak itu berjalan agak laju mendepani aku dan Halim yang sedang rancak berbual. Halim lebih ceria dari sebelumnya. Aku pun tak terasa nak menyapa budak itu memandangkan matanya agak tepat memandang tanah yang basah ditimpa hujan petang itu. Halim bergerak ke hala bertentangan apabila sampai di persimpangan jalan yang memisahkan kolej kami berdua. Aku pula terus menghayunkan langkah menuruti sahabat aku yang ‘bisu’ itu. Bosan dengan berdiam diri sedari tadi, aku memulakan langkah pertama menegurnya. Hampa. Dia tak membalas pun. Dia tak menunjukkan rasa bencinya pada aku. Mukanya agak selamba. Aku benar-benar tak faham. Merajuk ke? Tentang apa agaknya? 

Aku cuba membuka mulut bertanyakan kenapa atau paling tidak terus memujuknya. Maklum sahaja dia berperangai seperti budak-budak juga kadang-kadang. Lagipun dia memang lebih muda daripada aku. Tak ubah juga seperti adik aku. Mungkin sebab inilah, makin lama aku makin tak kisah memendekkan muncungnya yang berdepa panjangnya itu. Aku pun dah kian faham tindakannya. Dia memang jujur dan ikhlas. Sebab yang kuat untuk aku faham kenapa dia begitu sensitif dalam soal ini. Tapi soal apa sebenarnya? Hubungan yang rumit. Cubaan memujuk yang aku laksanakan tak membuahkan hasil yang ranum. Dia tak senyum pun. Ayat yang terluah pun hanya- “tidak ada apa-apa kut..”  Aku bertambah pening. Aku diam sepertinya dalam perjalanan itu. Kalau boleh nak saja aku terajang dia tanya kenapa…  

……..  
Hati aku tersentap berang. Dia tak patut buat begitu. Walau bagaimana marah pun dia pada aku dia tetap tak ada hak memperlekehkan aku sebegitu. Teman-teman lain berderai ketawanya. Muka aku semerah saga aku kira. Dia dah melampau! Egoku mula tercabar. Darah lelakiku meruap naik. Aku menjelingnya di hujung meja bulat tempat kami semua menjamu selera malam itu. Sudah lah semasa aku mengajak dia makan malam sebentar tadi dia tidak menjawab. Hanya apabila Hisham yang mengajak barulah dia setuju. Memang aku tak faham. Aku merenung matanya memohon agar cerita itu dihentikan namun matanya menjeling tajam umpama ingin menelanku hidup-hidup. Sah dia dah gila. Pasti mati aku malam itu. Apa lagi dapat aku buat. Kisah lelaki yang menggosok belakang dan tangan aku akhirnya menjadi cerita ‘bedtime story’ mereka semua malam itu. Nahas!  Esoknya aku tekad tak mahu menegur atau melihat dia lagi. Aku nampak dia tenang sahaja. Tak terasa susah pun bila aku menjauhinya. Malah dia biasa sahaja bila berjalan sendirian ke kelas atau ketika makan. Dia sudah biasa ke? Aku rasa tidak kerana dia pernah cerita tentang betapa bosan dan sepinya hidup bila senantiasa bersendirian. Kadang-kadang apabila rakan-rakan lain ajak makan, kami bertemu juga. Tapi perang dingin kami tetap berpanjangan. Berbeza apabila mereka mengajak dia berbual-bual  di bilik aku, dia tegas menolak. Selalu sahaja sibuk. Aku pun malas nak ambil kisah. Sama juga bila aku harus ke biliknya untuk sebarang tujuan, aku berasa amat berat sekali. Pernah sekali aku teringat cekera padat yang tertinggal di biliknya minggu lepas. Mahu atu tidak, aku terpaksa mengambilnya memandangkan cakera padat itu akan digunakan untuk pengubah suaian komputer ribaku. Ketika sampai di depan biliknya aku sedikit cuak untuk mengetuknya. Apabila menyedari pintu biliknya tidak berkunci, aku menolak sahaja daun pintu itu tanpa mengucapakn salam. Sebenarnya selalu juga keadaannya begitu. Dia menoleh ke arahku. Aku menjawab kecil menyatakan keinginanku. Nyata dia tak berkata apa-apa. Hati aku marak tapi tak berapa endah dengan caranya. Mungkin kerana aku maklum kami tak seperti selalu dan umpamanya kami takkan berkawan lagi.  

……  
Dalam tak sedarku. Dah lebih seminggu kami tak bertegur sapa. Kawan-kawan lain seperti tak tahu pun. Bagiku itu perkara biasa. Seorang lelaki yang tak baik dengan seorang lelaki lain khususnya bila menyentuh tentang perang dingin ini, selalunya berbulan baru diketahui teman-teman lain. Sebenarnya aku sendiri tak pasti betul ke dah lebih seminggu. Lagi pula seperti tak tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Sekadar mulut masing-masing tak terasa nak menegur telinga pihak sebelah lagi. Dan akhirnya berlanjutanlah sehingga seminggu. Ikhlas, aku tak percaya dia mampu melarutkan masa perang dingin kami. Aku sendiri tak mahu hubungan ini terus begitu. Sesekali terasa juga ingin menegurnya tapi aku terpaksa tunduk kepada ego lelakiku yang membuak kehangatan. Darah lelaki muda barangkali. Dan apa yang lebih megelirukan aku bila terfikirkan bahawa selalunya dia yang datang menyapaku bila kami bermasam muka umpamanya tidak ada apa-apa yang berlaku antara kami. Mungkin kali ini dia juga ada egonya. Atau dia mahu dipujuk? Tak kuasa aku. Entahlah.

……  
Hari kesembilan aku kira. Atau kesepuluh mungkin. Dia ke kuliah sendirian. Pun begitu juga dengan aku. Segala-galanya berjalan seperti minggu lepas. Diam dan panas. Jauh dan seperti tak pernah mengenali masing-masing. Kami memang berasingan, Cuma ketika pulang, kami berjalan agak seiring. Pada mulanya dia berjalan agak ke depan. Entah mengapa dan bagaimana tiba-tiba sahaja aku hampir terlanggar diriya. Aku tak rasa pun aku berjalan terlalu laju. Barangkali dia berjalan lambat-lambat atau terus berhenti. Untuk apa? Nak saing dengan aku ke? Ego aku bercambah. Jangan harap! Selagi tak dengar perkataan maaf daripada mulutnya aku takkan dekat. Aku melangkah laju-laju. Melintas dan meninggalkan dia keseorangan. Ketika memotong dia yang tengah berjalan itu, aku sempat menangkap kilas matanya yang redup melihat kelibatku. Entah kenapa aku menjadi sekejam itu. Aku menjadi bertambah ego dan terlintaslah niat ingin membalas dengan perbuatannya. Siapa suruh mula dulu…  

Dia kaget sedikit tapi aku nampak tangannya sedang menekan punat telefon tangannya. Menulis mesej ringkas atau sebenarnya sedang kawal rasa malu? Aku tak tahu. Terasa hati ini sedang digeletek pula. Aku membuka langkah semakin luas dan melajukan lagi hayunan kakiku. Lebih lagi bila dia kelihatan seperti ingin mengikutku. Aku dengan rasa amat diperlukan, berlari meninggalkannya dan menyeberangi jalan. Dan serentak dengan itu, aku terkejut dia berlari pantas mengejarku, memekik namaku kuat dan menolak tubuhku jatuh terlentang. Aku gamam dengan sekujur tubuh di bawah perut kereta Waja buatan Malaysia yang berwarna kelabu itu. Darah yang mengalir lebih banyak dari darah yang mengalir pada lenganku.  

……  

Sedar sahaja, aku betul-betul di depan wad kecemasan unit rawatan rapi Hospital Kajang. Seorang jururawat keluar menghulurkan sebuah telefon bimbit berwarna biru laut. Itu telefon dia. Mendapatkan telefon itu bagaikan mendapatkan semula seseorang yang aku tak pedulikan, seseorang yang banyak kesalahan aku padanya. Pada skrin telefon bimbit itu tertera nombor telefon bimbitku. Aku tersentak. Hatiku meluru bertanya untuk apa nombor aku terisi di ruang nombor  mesej untuk dihantar. Aku membuka ruang mesej itu dan membaca sebuah mesej panjang yang amat mengharukan hatiku yang selama ini amat kering dengan emosi…  
……  HARI INI KITA GADUH… AKU MAIN-MAIN SAJA… TAPI KAU INGAT BETUL-BETUL PULAK… APALAH…  KAN AKU JUGA YANG MENYESAL…  TADI KITA JUMPA, KAU PANGGIL AKU… TAPI AKU BUAT-BUAT TAK DENGAR… KENAPALAH KAU TAK FAHAM… AKU SAJA JE NAK MERAJUK SIKIT… EGO LELAKI… AKU SUKA GILA BILA KAU PANGGIL… DALAM HATI MENGHARAP AGAR KAU PUJUK AKU… TANYA KENAPA… TAPI TAK… KAU TAK TANYA… AKU LAGI KECEWA… MASA KAU TANYA HARI TU AKU BUKAN TAK NAK JAWAB CUMA SAJA JUAL MAHAL.. NAK JUGA TENGOK KAU TENSION PUJUK AKU… PADAN MUKA AKU BILA KAU DAH TENSION DAN TAK NAK TEGUR AKU LAGI.  BILA JALAN AKU TERINGAT APA YANG KAU SELALU BUAT KAT AKU… AKU PUN BALAS DENDAM… BODOHNYA AKU SEBAB BALAS DENDAM TAK KENA TEMPAT…  BILA KITA SELISIH, AKU TAK BERANI PANDANG KAU… AKU SEGANLAH… BUKAN BENCI KAU… AKU TAU KAU BENGANG TAPI AKU SEGAN NAK TEGUR KAU.. KALAU KAU TEGUR DULU DAN BUAT MACAM TAK ADA APA-APA BERLAKU ANTARA KITA, MESTI AKU TAK KISAH. AKU PUN SATU… KENAPA LAH NAK CARI GADUH DENGAN KAU… KAN AKU JUGA RASA SUNYI…  HARI TU AKU TAK SENGAJA KUTUK KAU… ALAH KAU NI PUN SATU… MACAM TAK BIASA PULA… KAN SELALU BEGITU… BILA KAU PANDANG AKU MINTA DIAM-DIAM DENGAN MATA KAU YANG TAJAM TU… AKU RASA SUKA PULA… GELI HATI…  TAPI MUNGKIN ITU PERASAAN YANG AKU RINDUKAN MASA KAWAN DENGAN KAU… CARA KAU YANG BIASA DAN SELAMBA… TAPI IKHLAS… DAN RASA KAU MEMANG KELAKARLAH…  TAPI ITU DULU… SEKARANG AKU RASA KAU DAH TAK SUKA KAWAN DENGAN AKU LAGI… KITA TAK SELALU BERJALAN BERSAMA… AKU RASA BOSAN DAH TAK ADA KAWAN… KALAU BERJALAN SEKALI PUN KAU TAK BANYAK BORAK DENGAN AKU… LAGILAH NAK BUAT KELAKAR MACAM SELALU…  AKU PUN DAH LAMA TAK DENGAR MULUT KAU SEBUT NAMA AKU DENGAN BAIK…  NAMA AKU BUKAN EH ATAU WOI… MAK ABAH AKU BERI NAMA PADA AKU DENGAN SEBUTAN YANG BAIK… WALAUPUN TAK ADA MAKNA… PANGGIL SAJA LAH BEGITU…  TADI KAU BUAT MUKA EMPAT BELAS… AKU NAK PANGGIL KAU… KALAU BOLEH NAK MINTA MAAF DENGAN KAU SEBAB BANYAK BUAT SILAP DENGAN KAU… TAPI KAU JALAN LAMBAT SANGAT…  BILA AKU PERLAHANKAN LANGKAH AKU,  TIBA-TIBA KAU JALAN LAJU… AKU RASA TERKILAN JUGA LAH… TAPI AKU TAK SALAHKAN KAU… AKU YANG BUAT KAU BEGITU… AKU YANG MULAKAN DULU… SIAPA SURUH AKU BUAT BEGITU… PADAN MUKA AKU SEKALI LAGI…  LAGIPUN AKU YANG BUAT KAU MARAH… JADI AKU KENA TANGGUNGLAH RISIKONYA…  MUNGKIN KAU MASIH TAK DAPAT MAAFKAN AKU LAGI…  TAK APALAH… AKU TUNGGU SEHINGGA KAU BENAR-BENAR SEDIA DAN IKHLAS UNTUK MAAFKAN AKU…  TAPI KAN… AKU TAKUT AKU TAK SEMPAT NAK MINTA MAAF DENGAN KAU… YA LAH… AJAL MAUT DI TANGAN TUHAN… KALAU ADA ANTARA KITA YANG PERGI DULU… MESTI AKU TAK SEMPAT MINTA MAAF KEPADA KAU…  BEGINILAH… AKU TAIP MESEJ PANJANG INI AGAR KAU DAPAT FAHAM MAKSUD AKU… KALAU KAU DAH DAPAT MESEJ NI NANTI, AKU HARAP KAU MAAFKAN AKU…  AKU TAHU SILAP AKU DAN AKU CUBA TAKKAN BUAT LAGI… AKU JANJI…  DAN KALAU SEMPAT AKU NAK BERITAHU… KAULAH TEMAN PALING SEMPURNA… KAULAH TEMAN PALING ISTIMEWA… KAULAH TEMAN YANG SEJATIKU…  TERIMA KASIH DAN MAAF SEKALI LAGI…  FAIZ…TERIMA KASIH.  …….  

Dan mungkin, ini mesej terakhir yang akan ku terima dari seorang teman yang sejati, yang sebenarnya tak sempat pun sampai kepadaku. Lebih lagi bila doktor menggelengkan kepalanya di saat ibunya datang bertanyakan keadaannya.  Kerana berlagaknya aku sebagai seorang lelaki, aku melupakan keintiman sebuah persahabatan yang tampak biasa di mata insan lain. Rupanya namaku dipanggil bukan kerana mohon aku tunggu dia, sebaliknya supaya aku menyedari kehadiran kereta kelabu itu. Kerana ego, aku kehilangan permata yang ku sangkakan batu biasa itu…  

Untukmu saudaraku, Amanlah engkau di sana… 
Al-Fatihah…  

“Meski suatu masa kau tak mengenali permata atau batu yang kau kutip, harus bagi kau menghargai setiapnya yang telah kau genggami kerna aku bimbang, kau akan kehilangan sebutir permata yang tak ternilai harganya, sedang kau terlalu sibuk mencari biji-biji batu yang sebenarnya hanyalah butir-butir pasir yang biasa.”    

~MUHAMMAD HANAM HAMID 
ukm: 20.10.2006 1211pagi ~ 21.10.2006 756pagi

Thursday, January 6, 2011

Puisi : Kapal Terbang Kertas


Kapal terbang kertas

Al-Khaliq menciptaku sehina mungkin,
Dari kertas rabak, lusuh, tak berguna,
Tidak lagi diingini,
Tidak lagi diperlukan,
Dilipat kemas tetapi mudah,
Berhanyutan aku dibawa angin,
Pergi, pergi jauh dari-Mu,
Penciptaku…

Angin,
Terbangkan aku jauh,
Melayang tanpa aku tahu ke mana,
Sedang layang-layang punyai teraju,
Sedang kapal punyai layar,
Sedang kuda punyai tali kekang,
Aku diam sendiri,
Berkelana di bumi Tuhan,
Tanpa hala dan tujuan,
Pasrah dan patuh,
Tidak mampu membantah,
Tak berdaya aku,
Melawan kehendak-Mu…

Aku kapal terbang kertas,
Hidup terlayang lalu rabak,
Hancur dan koyak oleh angin hidup,
Makin tinggi aku ke awan,
          Makin geruh hatiku berdentum,
Kian lama aku terbang,
          Kian takut aku menjauhi bumi…

Angin hidupku akan berakhir,
Jatuhku ikut telunjuk Tuhan,
Tiadalah aku mata untuk menangis,
Kembaraku keseorangan,
Jatuhku tak berteman,
Layarku tak ber-hala,
Rebahku tak berpengkalan…

Akulah kapal terbang kertas,


Sudah jatuhku entah di mana,
Lopak selut di hutan rimba,
Celah pepohon, tepi sawah,
Dipijak, diramas tak punyai halangan,
Dan aku terus begitu,
Meniti hidup,
          Biarpun tinggi aku dibawa terbang,
          Pastikan jatuhku,
Menyembah bumi-Mu,
Tuhan.



Hanam Hamid.
291005/0947am
muet paper3

Tuesday, January 4, 2011

Novel : Lelaki (Episod 1: Bahagian 1)

"Setiap lelaki, sama seperti manusia lain, turut memerlukan seseorang di sisinya. Seseorang yang boleh menjadi lelaki mahupun perempuan. Seorang saudara atau a complete stranger. Seorang yang sinonim atau yang sebaliknya. Seorang lelaki masih memerlukan seseorang di sisinya. Sentiasa."

"Even a lonely wolf needs a place he could run into. Seorang yang bisu perlukan suara untuk berbicara."

"Walaupun bisu.."


...

Fahrin meluncur laju melalui denai-denai sempit di sekelilingnya berdiri pokok getah yang mencanak tinggi. Inspira peraknya tampak gagah merentas hutan kecil berlopak itu. Kaca mata hitamnya tetap lekat di tempatnya. Rambutnya yang kerinting kemas tersikat. Tubuhnya sasa dan tegap dibaluti sepasang sut hitam lengkap. Titus di tangan kirinya berkilatan dek pancaran terik mentari. Segaknya pasti menawan mana-mana wanita yang memandangnya. Namun, kerut pada dahinya serta tegang wajahnya mencacatkan parasnya. Ada kekusutan bersarang di dalam kotak mindanya.

Ini adalah kali pertama dia menginjak semula ke tanah subur desa itu. Warna hijau desa itu mula bertaburan dedaun perang. Daun getah turut sugul seperti sepuluh tahun dahulu ketika dia nekad meninggalkan desa bumi tercintanya ini. Kejadian sepuluh tahun dulu, dan peristiwa hari ini diselimuti kisah yang ada persamaannya.

Malas mengimbau kisah lampau, dia memecut laju ke teratak lama di hujung ladang. Dari kejauhan, dalam ramai khalayak berteburan, matanya tertumpu pada susuk mungil seorang lelaki kecil sedang berdiri tegak.

"In.."

...

Dia bersalam dengan mereka yang sedang mengerumuni laman rumah kayu itu. Seorang demi seorang disapanya ringkas. Bibirnya mengukir senyum walau hatinya kelat bercampuran. Ada bisik-bisik jahat cuba menyekinap masuk ke dalam rongga telinganya. Fahrin diam tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Matanya mengilas cepat ke arah lelaki di muka pintu yang menyambutnya.

"Abang apa khabar?"

Lelaki itu bersuara manis. senyum di bibirnya diukir seperti biasa.

"Baik. In?"

Fahrin berjeda sementara sebelum membuka kotak suaranya.

Lelaki itu senyum juga. Mengangguk kecil.

"Dah siap?"

"Sudah bang. Dah dua jam tiga puluh satu minit saya menunggu."


Senyum masih ada. Fahrin berbalas senyum.

"Marilah."

...

Rumah yang selama ini dihuninya kini ditinggal pergi. Lelaki itu berpaling seketika. Penat menatap dari dalam kereta satu-satunya saudara yang tinggal, lelaki itu kembali memandang ke hadapan. Inspira masih laju. Lajunya bagai benak Fahrin yang merasakan bahang benci pada tanah lahirnya ini.

Rasa sejuk memenuhi masa mereka berdua dalam kereta mewah itu. Fahrin gentar untuk berbicara namun lelaki itu nampak selesa dan tenang meskipun suara dikunci daripada terkeluar. Senyumnya, masih ada. Seperti selalu.

Sesekali, lelaki itu memandang ke arahnya dengan madu tercalit di pinggir bibirnya. Matanya redup memandang. Fahrin hanya berdehem sekali sekala. Tiada sebarang bentuk komunikasi berlaku. Lubuk hatinya masih ada rasa dendam dan benci. Rasa bersalah dan sesal. Rasa janggal dan berbeza-beza.

Kejadian sedekad dulu betul-betul menghantuinya. Peristiwa yang mengubah segala-galanya. Tentang dia, tentang hidupnya, tentang lelaki itu dan tentang hidup mereka. Tentang segala-galanya.

....(bersambung)...

Sunday, January 2, 2011

Novel : Kerana Irhadah (4)



    "Masihkah ada rasa salju kasih dalam hati yang marak membara?"




    -KERANA IRHADAH, sebuah adaptasi
    nukilan Hanam Hamid, Seputeh Salju




Kehilangan Abah banyak mengubah jalan cerita mereka. Baik bagi Bunda yang masih sarat menahan keperitan bertahun dahulu, mahupun dua beradik kecil, Farizz dan Farhan yang masih tega bertelagah, masing-masing mereka masih terlekat dengan sisa kenangan yang Abah tinggalkan.


Bunda memang seorang wanita yang sangat tabah. Ketiadaan Abah masih mampu menjadi bahan bakar semangatnya yang kental. Sedikit pun pada riak wajahnya tidak terbeban dengan kepemergian suami yang pernah berjanji menjaganya seumur hidupnya. Biarpun lelaki itu pernah sekali menodai janji mereka, namun lebih daripada itu, tiada sekelumit pun dosa nista yang dilakukan Abah. Mad Farukh Mad Ali. Lelaki bertubuh tinggi putih melepak. Berbadan sasa dan segak. Tak pernah mengukir payah dan susah pada raut matanya dan sentiasa redup dalam pandangan matanya, nama itulah yang akhirnya menjadi pilihan kedua ibu bapanya bagi dijodohkan dengan gadis bernama Nour Izzah Nordin ini.


Bunda masih diam diselubung rasa. Sekali-sekala batuk kecil singgah memecah hening pagi itu. Mergastua berlagu sepi. Lubuk hatinya sunyi sekali. Dia mengurut dadanya yang sakit. Ubannya sudah memutih. Tangan tuanya yang berangka urat yang berselirat masih leka membuang isi perut ikan bilis keluar. Nasi lemak kegemaran Farhan, lebih sedikit boleh dijual ke Kedai Kopi Karimah. Dalam kesit yang menemani rutin hariannya, jiwa yang kosong itu dipenuhi juga dengan rasa rindu akan suami tersayang. Sayu menyelimuti ruang pagi.
 
...


Dia masih ingat 15 tahun dahulu selepas 3tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya itu. Perbuatan Farukh yang mengubah segala cerita mereka. Perbuatan yang menjadi titik noda yang membekas sehingga kini. Perbuatan yang dalam diam membakar sekam hatinya. Satu titik yang mengingatkan dia pada kebencian buat lelaki dan kaum sejenis dengannya. Satu titik menyebabkan dia mula hilang kepercayaan kepada mana-mana manusia di sekelilingnya.


Perkahwinan 3 tahun wanita bertubuh tegak itu bersama lelaki pilihan keluarganya menyelitkan cebis-cebis kenangan yang berpanjangan dalam riwayat perkahwinan mereka. Setiap hari adalah madu yang mencurah cerita asmara mereka. Putihnya sesuci salju tanpa sezarah kelabu pun. Keindahan itu diretak badai apabila mahkota wanitanya diselang ombak dugaan yang menghempasnya jatuh dan berderaian.


"Peranakan kamu ni jatuh. Barangkali tak cukup kuat. Ada kamu berpantang ikut aku pesan?"


Mata Mek Supiah ditatapnya lama. Keningnya terangkat sedikit. Rasa hairan dan janggal bermain di benak serta akalnya.


"Ada juga. Saya tak pasti, tapi sikit-sikit itu adalah ikut pesan Mak"


Dia menjawab perlahan. Kurang pasti dengan jawapan sendiri.


"Kau jangan telan pucuk rebung, air halia, tapai, tebu dan jeruk . Mangga muda dalam kerabu tu pun jangan disentuh. Nenas muda tu juga, aku tahu kamu gemar, tapi jangan dipulun habis. Bahaya. Tajam untuk peranakan kamu!"


Bundar mata orang tua itu menegur. Sireh tembakau masih ditenyeh pada gigi kuningnya. Berhamburan air liur yang keluar memalingkan muka Izzah sedikit ke bawah. Ibunya di sisi diam sahaja. Masih tekun mendengar. Sesekali mengiyakan kata-kata bidan kampung yang cukup terkenal dengan pengalamannya dengan bakal ibu.


"Aku ni pesan aja. Kalau tumpul isi rahim kamu, tak ke nanti kempunan Si Farukh tu menimang anak."


Cakapnya bersahaja menagih sedikit perhatian Izzah dan ibunya di sisi.


"Lelaki ni Izzah, zuriat itulah yang diimpinya bila berumah tangga. Kalau itu kau tak mampu bagi, mahunya Si Farukh tu makan luar apa gamaknya kamu?!"


Lantang suara Mek Supiah menerkam gegendang telinganya. Izzah mengerling kepada ibunya yang asyik diam sedari tadi menghulur rasa protes.


"Isyy..Mek ni! Sampai ke situ pula dia. Jangan disebut-sebut benda sebegitu. Anak saya ni baru tiga tahun berkahwin, bukan berpuluh tahun pun."



Si ibu cuba melawan arus. Riak anaknya ditaruhkan simpati. Tidak setuju cara sindiran si tua di depannya.


"Aku ni nasihat saja. Bukan apa, banyak dah aku dengar cerita-cerita begini. Perempuan yang tak boleh mengandung, tak pandai pasang badan, memang senang bermadu"


Dia melenting. Cepat saja dia bingkas bangun daripada duduknya keluar daripada perbualan itu. Tak patut Mek Supiah berkata begitu walau di lubuk hatinya masih terlekat gesaan keluarga mertuanya supaya segera merancang mendapatkan cahaya mata.


"Tak apalah Mek, Izzah bukan tak nak, belum rezeki."


Dia berlalu segera. Dalam hatinya masih berkabut.


...


"Bunda!"



Teriakan si adik mengejutkan lamunan panjangnya. Tangannya segera disibukkan mengasingkan ikan bilis di hadapannya. Farhan yang bersendu dibiarkan seketika. Jeda menyelit dalam perasaannya.


"Bunda, Abang jahat! Dia kata ibu Adik jahat!"



Tersentak dia mendengarnya. Dalam diam, api mula membakar sekamnya. Raganya bergelora. Namun pada redup mata anak kecil di depannya, api dendamnya terpadam terus.


"Kenapa Abang bilang begitu? Bukan ke ibu Adik, ibu Abang juga?"


Dia cuba memujuk perlahan. Sakit yang bersarang ditempiaskan jauh tak kelihatan.


"Kalau ibu Adik jahat, ibu Abang pun jahatlah yea? Takkanlah Abang nak kata Bunda ni jahat"


Dia megukir senyum pada bibirnya. Hatinya berdoa agar anak itu faham. Biarlah dia menjadi ibu kepada Farhan, seperti mana dia sendiri menganggap Farhan ialah anak kandungnya sendiri.


"Abang bilang Adik ni anak orang lain. Ibu Adik orang lain. Ibu Adik jahat. Ibu Adik buat Bunda sedih. Ibu Adik buat Bunda menangis..."



Rintihnya kian meleret. Jauh menghanyutkan sama lamunan si Bunda. Matanya menerkam ke dalam kelopak mata Farhan yang bergenang dengan air mata. Dia tewas. Dalam air mata hanya berwarna jernih. Tak kenal dan tak tahu bahawa mereka sedang berjalan mengikut arus sungai yang deras. Tak berupaya berenang ke ketepian bilang gelombangnya cuba memukul tubuh si perenang.


Bunda menerkup wajah tiba-tiba. Perasaannya mula bergelodak. Deru tangisannya mula menjadi. Lebih laju daripada Farhan yang mengongoi. Lebih kuat daripada Farhan yang berteriak. Tangisnya mematikan sendu si kecil. Kehairanan mengisi ruang antara mereka. Farhan dihimpit serba salah. Apa sudah jadi?


"Bunda, kenapa? Abang bukan kata dekat Bunda. Bunda kan ejek Adik. Kenapa Bunda yang menangis?"


Sakitnya tak tertahan lagi. Benci, marah dan dendam bersimpang-siur. Rindu, kasih dan pilu turut menerobos cuba memenuhkan kekosongan di jiwanya. Farhan di depannya dipeluk erat. Kemas merangkul anak kecil itu sehingga kedua-duanya begitu asyik dilamun sedih masing-masing yang berlegar-legar.


Daripada kejauhan, ketika kedua-dua mereka meratap duka, ada sepasang mata memerhati. Bersembunyi di balik pohon jambu yang merimbun, lelaki itu turut teresak sama. Namun tangisnya disenyapkan dalam paksaan. Hanya air mata dan esak perlahan yang tampak. Siapa tahu, dalam angka usia yang sekecil itu, Farizz sudah bijak menafsir cerita yang ditulis Ilahi ini.


(bersambung..)



Sunday, November 28, 2010

Tinta Layar Sang Penglipur Lara : Jeda

Sebuah kisah yang telah engkau ketahui...
    Lama mendiamkan diri, Sang Penglipur Lara kembali mencatit kisah kehidupan dalam jurnalnya yang dilakar buat berkongsi cerita di balik perjalanan umat manusia di dalam dunia ini.
    Asalnya Kerana Irhadah terdiam sendiri apabila kehidupan Sang Penglipur Lara berubah layarnya. Biarpun Seputeh Salju sudah siap melekat dalam benak Sang Penglipur Lara, Kerana Irhadah yang terilham daripadanya, masih lambat teruntai ceritanya. Kini Sang Penglipur Lara kembali semula, dan insyaAllah, selain Kerana Irhadah yang mula berhijrah daripada tepat asalnya, Lelaki pula cuba melarik daripada sisi memenuhi ruang nota Sang Penglipur Lara.
    Lelaki ialah cetusan rasa yang tersembunyi di sebalik hati kaum Adam, tercorak dalam latar watak yang berbeza. Bersama-sama keikhlasan yang sentiasa ada dalam tulisan Sang Penglipur Lara, semoga Lelaki menjadi teman yang akrab untuk anda semua, selain kehadiran Kerana Irhadah yang mungkin, masih menjadi tanda kesetiaan anda.

Daripada sebuah insan yang berkongsi hidupnya dengan anda,
Sang Penglipur Lara
www.kisahsangpenglipurlara.blogspot.com 

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com