Kisah Sang Penglipur Lara

Kisah Sang Penglipur Lara
Kisah Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara

Layar Sang Penglipur Lara
Tinta Layar

Monolog

Monolog
Luahan rasa hati

Novel

Novel
Novel

Cerpen

Cerpen
Cerpen

Puisi

Puisi
Puisi

Khazanah

Khazanah
Puisi Tradisional

Cerita Kita

Cerita Kita
Pandangan isu semasa seni tulis

Bisik-bisik

Bisik-bisik
Ulasan karya terkemuka

Monday, January 31, 2011

Puisi : Liang Lahad


LIANG LAHAD.

Beginilah sudahnya,
Saat kegelitaan menjeratku,
Mendendangkan lagu bisu yang pilu dan seram,
Saat kujur tubuhku dijerluskan,
Pada tanah hitam yang berselut,
7 kaki ke perut bumi,
pada ruang lahad yang meramas rusukku,
seram dan sejuk.

Sampai langkah ke tiga menjauhiku,
Datanglah si ulat-ulat bertempikan,
Gembira mengerumuni bibir telingaku,
 Melonjak bersorak seperti musuh-musuh duniaku,
Dan pada pepohon hijau yang berzikir,
Tika tubuhku dihentak ke bumi,
Bisulah pepohon itu dari zikrullah,
Melupuskan kasih dan simpati mereka,
Tak ubah si anak-anakku yang tuli,
Hanya seminit menjenggukku,
Lalu lari mengejar dunia,
Lalu doa menjadi kesit,
Seperti isteriku yang galak berhias,
Pusaraku berkubur indah,.
Berpayung emas tinggi sedepa,
Sedang aku terbakar di sini,
Melihat isteriku membuka dadanya,
Bagi tatapan pemuda di jalanan.

Aku kini sendiri,
Pada temanku yang sedang kembara,
Mencari Si Putih dengan kebahagiaan yang hilang,
Menghindar Sang Hitam dengan kesengsaraan yang mendatang,

Aku takut,
Melihat sorakan manusia-manusia itu atas kepemergianku,
Menonton kesibukan zuriatku melupai doa kepadaku,
Dan melihat mati sedang berkampung,
Serta Mungkar dan Nakir sedang menghadapku.

Hanamhamid
141205/1821

<kenangan malam penghayatan islam kolej matrikulasi melaka 2005>

Saturday, January 29, 2011

Cerpen : Antologi Tika (LURUHNYA DEDAUN YANG BERGUGURAN.)


LURUHNYA DEDAUN YANG BERGUGURAN.

JUMAAT, sekali lagi menerjah ruang benak. Aku berjalan pantas dalam dingin pagi yang suram. Berfikir sendirian. Tiada sesiapa di sekitarku. Ada beberapa rakan yang tak kukenali berjalan di hadapan. Aku melangu tanpa suara. Jerit pekik suara Misha Omar dengan  lagu “Tak Ingin Lagi” membingit di telingaku merdu. Perjalanan awalku membuatkan hatiku tenang sedikit. Kusut memikirkan masalah dalam MEDiK yang aku sertai. Baru semalam aku pergi menyelesaikannya tapi semakin buntu pula dengan keputusan yang kuterima.
Teringat akan adanya kuiz pagi ini. Apakah beza pertumbuhan dengan perkembangan tumbuhan? Apakah itu kinetik hayat tumbuhan? Apakah kategori dan fungsi hormon-hormon dalam tumbuhan? Aku sendiri masih belum mentelaah. Semalam ku tidur agak lewat menyelesaikan jualan dedikasi MEDiK. Bangun pula lebih awal. Segar? Huh!
Aku berjalan tenang melantaikan dedaun yang kekuningan. Jatuh satu demi satu meski tiada angin sepoi yang meniupkannya jatuh. Cantik. Aku gemar sekali. Hatiku rungsing. Terlalu banyak perkara yang aku ingin selesaikan. Harapan yang ada pada setiap tanggungjawab yang kusandang, takut sekali jika akhirnya gugur seperti dedaun kering itu. Mengenang masalah sendiri dengan teman sekeliling, masalah pelajaran yang langsung tak kumengerti. Malas rasanya. Rimas.
Selesai kuliah hampir dua jam bersama Dr. Che Radziah memberi ruang masa hampir setengah jam sebelum ke kuliah Biokimia. Aku mundur sedikit dengan soalan kuiz yang langsung tak seperti anggapanku. Apa yang aku faham jelas sekali tidak serupa dengan apa yang pensyarah inginkan. Sama ada aku ini sememangnya lembab ataupun skema jawapan dengan kehendak soalan tak selari, aku pun tak pasti. Entahlah bagaimana nanti.
Angin membuai iras wajahku lembut. Rasa tenang dan segar yang amat. Alhamdulillah. Rasa syukur berpijak dan tinggal di bumi Malaysia yang permai ini memanjat ke puncak hati. Kenangan dan keasyikan mengulitku damai. Rizal lincah berceloteh. Sekali sekali ku menjawab dengan hati yang kosong. Gembira sekali. Lawak yang aku sendiri tak pasti kelakar ataupun tidak, tetap ku tergelak ringkas. Sekurang-kurangnya aku faham mesejnya, dan dia sedia berkata-kata sesuatu.
Tiba-tiba sekuntum bunga berwarna merah jambu jatuh di sebelahku. Cantik jika dibandingkan ketika beruntaian di tangkainya. Gugurnya secara natural. Asli tersusun di lantai bumi simen. Satu inspirasi yang indah. Terkadang itu, aku teringatkan seseorang yang telah aku serik dengannya. Menilai semula kesukaan dan juga tidak tika bersama dengannya. Perlukah aku gugurkan ia daripada senarai temanku? Atau pun lebih baik kuterima ia semula meski aku masih bimbang dia akan berubah semula. Bunga itu lebih cantik berguguran, tapi akan cepat layu bila menyembah ufuk bumi.
Aku sayu sendiri. Apakah apa yang aku lakukan sebenarnya salah apabila hatiku sendiri tak menerimanya? Ataupun adakah benar apabila yang aku lakukan ini demi tidak menyakitkan hati sendiri? Aku mengeluh perlahan. Nun di sana kulihat sebatang pohon yang keguguran daunnya. Kekuningan dan keemasan. Lalu dedaun itu gugur mengikut rentak angin yang tenang. Cantiknya Tuhan, ciptaanMu ini.   

Sunday, January 23, 2011

Monolog : Teman Sejati

Monolog : Teman Sejati. (buat 3 teman yang bukan lagi sahabat sejati)

Bukan bait indah dalam lirik Brothers yang biasa anda dengar menjadi cetusan ilham Sang Penglipur Lara kali ini. Sedikit kelainan, berbeza dan unik, senantiasa berlegar dalam ruang minda. Bagi yang selalu memenuhkan ruang pendengaran dengan irama dan muzik berlatarkan kias kata garapan Puan Habsah Hassan, barangkali sedia maklum rasa pedas dan nyaman motif corak senikatanya. Ada sangat banyak lagu yang dinaungi susun kata puitis beliau menjadi kegemaran saya, dan salah satu antaranya ialah lagu suara Juwita Suwito berjudul Teman Sejati. Bukan lagu yang biasa anda dengar barangkali, namun disebalik suara dan lagu itu, ada sentuhan telus Kak Chah dalamnya.

Dengar sahaja keluhan rasa seorang manusia terhadap perisian seorang teman, yang terasa dikhianati dan diperguna, pasti terasa kedip sedih dan pedih yang bersarang. Hayati satu demi satu bahasa jiwanya, barulah kita fahami hikmah di sebalik lagu ini:

Setiap kali aku menoleh ke belakang,
Mencari-cari titik punca keretakkan,

Pertamanya, jelas, kita cuba mencari peluang mengkaji dan mengubah salah dan silap kita tika dibelenggu konflik yang mengancam persahabatan kita. Menoleh ke belakang, melangkaui masa terdahulu dalam mencari satu tempat ada kemungkinannya kesilapan yang menjadi punca pertelingkahan. Adakah mungkin kerana terlalu kasih dan ambil berat menjadi beban buat perhubungan kita?

Kusedari tak wajar dipersalahkan,
Dirimu yang kian ketandusan perasaan.

Barangkali benar, kita tak wajar melihat sesuatu perkara yang buruk itu berlandaskan orang lain semata-mata. Maka, baiklah jika setiap laku sahabat itu kita tidak menunding jari padanya. Sepertinya mungkin, tiada perasaan yang bersarang dalam hati mereka, sehingga mereka sanggup memutuskan persahabatan, atau mungkin juga kerana mereka tidak lagi endah akan apa yang terjadi kepada perhubungan ini.

Sesungguhnya yang tersilap diriku sendiri,
Menaruh harapan padamu terlalu tinggi,

Kita adalah lebih baik dalam merasai sendiri betapa mungkin kita sendiri yang bersalah, apabila kita terlalu berharap dan percaya pada persahabatan yang tak mungkin. Atau mungkin ia menjadi beban kepada si dia kerana harapan dan kepercayaan kita terlalu berat untuknya pikul di pundak dirinya. Seolah-olah menjadi shabat itu tanggungjawab sukar yang kita haruskan padanya untuk memikulnya. Jadi, inilah mungkinnya salah kita. Menaruh harapan padanya terlalu tinggi.

Sangkaku orang memberi kita berbahasa,
Tak terlintas susu disaji dibalas tuba.

Peribahasa yang biasa kita dengar dan pada hematnya, tidak begitu praktikal dalam setiap perkara. Kita sentiasa beranggapan apabila seseorang sedia memberi, kita cukup untuk berbahasa demi itu. Dan semestinya, tidak satu antara kita bakal menyangka yang setiap pemberian kita pula menjadi habuan dibalas pengkhianatan yang meracun jiwa dan persahabatan. Begitukah rasanya?

Setiap pengorbanan, setiap pemberian,
Kulakukan untukmu penuh ketulusan,

Pemberian dan pengorbanan dilakukan oleh kita, sentiasa disalutkan perasaan telus dan ikhlas. Atas dasar persahabatan, atas dasar perhubungan yang murni, setiap perkara dilakukan dengan telus dan ikhlas.

Tiada yang diharap selain kejujuran,
Bila diri dikhianati sungguh aku terkilan.

Dan setiap yang diberikan, sebagai seorang sahabat, tidak meminta lebih selain kejujuran dan ketelusan sebagai seorang sahabat. Dan ketika itu jugalah, apabila si sahabat tega mengkhianati diri atas alasan yang tak sepatutnya, ada kilas kecewa dan sedih mencalitkan rasa terkilan dan kesal di hati.

Di akhir kata, ilham kata yang bermula dengan rasa bersalah dan kesal bertubi-tubi, akhirnya diselang selikan dengan rasa insaf dan sedar akan silap diri dan hikmah ketentuan Ilahi:

Sememangnya bukan engkau bukan dia,
Penilaianku dulu dikelabui mata,
Namun kutemui hikmah di sebalik tragedi,

Cuba menolak sesiapa yang cuba menghuni benak hati, rasa kesal dan kecewa mematangkan seorang manusia bernama sahabat ini tentang hakikat dan kebenaran dalam perhubungan. Kala dahulunya begitu mengangungkan seorang sahabat yang rasanya setia seperti Abu Bakar As-Sidiq, kita mula mengerti penilaian yang dibuat sebenarnya sekadar luaran semata-mata, bukan keikhlasan dan ketelusan yang sejati sebagai seorang teman. Kesedaran yang terbangkit daripada tragedi yang menimpa diri, menjadikan kita faham betapa keajaiban Tuhan mencipta hikmah di balik setiap peristiwa:

Dan pada bait paling akhir, ada suatu baris yang jelas dan sangat istimewa, yang harus kita semua hayati:-

Teman sejatiku hanyalah Dia yang abadi.

Benar, teman sejati kita, hanyalah Dia yang Abadi!

Jadi, tatkala ini, percayalah bahawa Dialah sahabat kita yang paling tinggi menjalankan fungsinya. Sentiasa mendengar dan memberi. Sentiasa jujur dan telus. Sentiasa menemani dan menghampiri. Sentiasa ada dan mengadakan. Sentiasa benarkan kita menjadi yang lebih baik untuk sekaliannya. Bersyukur untuk memahami hikmahNya.

Thursday, January 20, 2011

Novel : Lelaki (Episod 1: Bahagian 2)


LELAKI EPISOD 1 (BAHAGIAN 2)

Fahrin membuka pintu dengan cepat. Kondominium mewah yang disewanya hasil sepuluh tahun berkhidmat di ibukota menjadikan dia bangga membuktikan pada adiknya betapa dia telah berjaya mengharungi liku-liku hidup di kota yang penuh dengan cabran ini.

“Here is my lovely home...”

Dia tersenyum bangga menunjukkan ruang kondo miliknya yang luas dan serba lengkap dengan pelbagai perabot dan kelengkapan mewah. In membalas dengan senyum manis.

“You really have such a lovely home. But it’s ashamed to live in this so big house you called all by yourself.”

Fahrin terkedu. Rasa pahit tercecah di hatinya.

“Budak ni!”

Gerutu hatinya. Dia lekas bergerak ke ruang tengah yang dihiasi sebuah taman kecil penuh pepohon kecil dan kolam air yang dihuni ikan-ikan kap yang menari kegirangan menyambut tetamu kecil itu.

“Let me show you around.”

In mengikut daripada belakang Fahrin. Dua beradik ini kelihatan sangat berbeza. Biarpun memiliki rambut ikal dan senyum berlesung pipit yang serupa, namun bentuk badan Fahrin lebih besar dan sasa serupa bapanya berbanding adiknya yang lebih kecil dan kurus seperti ibunya. Mata adiknya juga lebih kecil dan kelihatan sepet seperti orang Cina. Teringat dia tiba-tiba ketika di bangku sekolah apabila diejek sebagai anak Cina yang diambil oleh keluarganya sebagai anak angkat. Banyak kali Fahrin melompat pagar ke sekolah adiknya semata-mata cuba melindungi lelaki kecil itu, namun selalunya suara lelaki itu seringkali mematikan ejekan rakan-rakannya yang nakal. Adiknya seorang yang sangat bijak berkata-kata. Setiap lafaz yang keluar daripada bibirnya biasanya menyebabkan orang di sekelilingnya terdiam. Mungkin sebab itulah juga dia digemari sesetengah individu, dan tak lari juga daripada mereka yang sentiasa menjauhinya dek lidahnya yang telus dan bijak itu.

“And, I guess this is your room.”

Mereka berhenti di depan pintu satu bilik yang sederhana besar. Pintunya dibuka dan kelihatan sebuah katil beralas cadar serta bantal dan selimut melengkapinya. Di satu sudut yang lain, ada satu almari besar untuk menyimpan pakaian, meja kecil berserta cermin yang tingginya daripada kepala ke pinggulnya, serta satu rak buku yang tersusun pelbagai buku dan majalah. Di sisinya terdapat sebuah meja tulis dan kerusi dengan lampu meja menghiasi tepinya. Dan ada sebuah komputer riba juga terdiri di atasnya.

“Are you sure this is my room...? “

“Yeah, why?”

“Well, it seems occupied with other’s belongings.”

Fahrin tergelak kecil. Dia memasuki ruang bilik dan mengarah adiknya masuk.

“Some of those are mine. But that Notebook is yours. You’ll need it for your job”

In tersenyum. Rasa hatinya digelek.

“Thanks. Everything seems complete.”

“Abang dah sediakan a few days before you’re here. Just after you told me that you’ll be here for good. Haha..lengkap!”

Bangga bersarang lagi.

“Yup. Cuma abang yang masih belum lengkap...”

In tersenyum sinis. Matanya melirik nakal kea rah Fahrin. Sekali lagi dia tersentap.

“Ciss... aku pulak yang terkena!”

“So, how about your job. Dah call the agency?”

“Ya. They will hire me if there’s a vacancy.”

“What? I thought you already get the job.”

Fahrin rasa tertipu. Fikirnya, lelaki itu telah pun diterima bekerja. Matanya dikecilkan menikam susuk lelaki di hadapannya. In menoleh sambil punggungnya dilabuhkan di atas tilam empuk di tepi jendela. Dia mengangguk perlahan sebelum menyambut kata-kata Fahrin.

“I did. Cuma not yet.”

“You mean..?”

“Mereka tengah tunggu salah seorang staff mereka yang bakal bersara. I’ll replace him afterwards.”

Fahrin mengangkat keningnya sekali. Menggerakkan kepalanya ke atas dan ke bawah beberapa kali.

“Okay. So, I’ll leave you to...unpack or something.”

“Okay. Thank you.”

In melambai kecil menganjurkan Fahrin keluar daripada ruang kamarnya. Fahrin faham dan keluar. Pintu bilik ditutup perlahan. In kembali merenung ke bawah. Bagasinya dibuka cermat. Sekeping gambar dibawanya keluar daripada bagasi itu. Matanya menatap lama. Sebak mewarnai suasana. Didakapnya gambar itu ke dada sambil keluh kecil kedengaran.

“In akan jaga abang. In berjanji!”

Monday, January 17, 2011

The Departure

the departure

It'll be fine,
If your flight is here and you need to go.

It'll be okay,
If your train is here and you have to go.

And it'll be alright,
If your time is arrived so you should now go.

But it'll be the departure,
Of the days we lived all in a school,
To learn about life we certain may not like,
Or to know the world that told us to struggle.

You leave us on this day with no sayings,
But goodbye and farewell we never said,
For the winds that blows from below.

It's a longer road beyond yours,
When you take the departure to fly your wings,
Where the railways you run upon it,
To who you did for self.

It's us to take the leave.
Saying now, Sayonara,
Till then, Goodbye.

Hanam Hamid
(in a memories of thank-you, to all who will leave us)
704pm
17th January 2011
Putrajaya

Thursday, January 13, 2011

Puisi : Ciptaan Terulung

Sebuah warkah yang dinukil buat menghargai mereka, kalian yang sentiasa berada dan bersama-sama di sisi kerdil seorang musafir dalam perjalanannya menemui cinta Allah. Sebuah lontaran rasa bimbang dan keinginan mendakap rahmat Tuhan, nikmat yang membantu memudahkan jalan kembara yang dilalui. Sebuah tulisan rasa payah dan permintaan akan harapan di sebalik terciptanya Hawa untuk Adam, Rasul untuk umatnya, serta manusia untuk manusia. Satu titik permulaan menghargai mereka di samping kita, Ciptaan Terulung menjadi inspirasi, ekspresi perasaan itu.



CIPTAAN TERULUNG


Aku di sini, berdiri,
Berpijak di atas jemari kakiku,
Sendiri…

Memegang pada paksi yang tegak berdiri,
Berdiri dengan teguh dan tegak,
Memandang ke langit,
Dengan tetap,
Dan mata yang terpejam.

Cukup beranikah aku menghadapi matahari Tuhan?
Meniti bara hidup dengan tabah,
Melontar mata hati dalam erti hidup,
Menabahkan jiwa,
Menghadang air mata daripada tumpah,
Meneruskan langkah tika kakiku lumpuh,
Menolak bata-bata tembok di hadapanku,
Mampukah?

Lalu kupohonkan doa,
Pada Tuhan yang Maha Kuasa,
Pada Al-Khaliq,
Agar Dia ciptakan seseorang untukku,
Untuk mendorong,
Dan menemani kembara ini.





HANAM HAMID
3 JUN 2005
1227pm

Wednesday, January 12, 2011

Monolog : Putus Sudah Kasih Sayang

Putus Sudah Kasih Sayang

Berlegar-legar dalam ruang rongga telinga yang dua ini, bait kata lagu indah seniman terunggul negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang satu ini. Longgar rasa jiwa dalam kekalutan yang berpusu-pusu memenuhi hari.

"..putus sudah kasih sayang, ikatan asmara hancur berderai-derai, apakah dosaku?, apakah salahku?, kau hancurkan jambatan asmara.."

"..oh sampai hati engkau pergi, tinggalkan padaku racun berbisa, membara di dada oh membakar di hati, hingga kering layu berdebu.."


layar hidup kita berbeza-beza. daripada segenap ruang kita cuba lapiskan dengan kasih sayang. kalau hilang satunya dihakis, lemahlah jiwa kita. cerita seorang penanti cinta yang setia, menunggu terlalu lama meraih cinta. selama mempertahankan hati dan perasaan, berkali-kali dia dihukum dengan kekecewaan. menangis siang dan malamnya, tanda sedih dan kasih sayang pada mereka yang telah pun meluluhkan hatinya. simpati bertamu di kalbu. harap dia segera sembuh. agar dia segera sedar. kehadiran cinta yang lebih agung. ada kasih sayang Tuhan yang lebih murah untuk diberi, lebih mahal untuk dirasai. percayalah hikmah pada takdirnya.


layar berlabuh dalam hidup. menutup perasaan menjadikan kita berduka cita. alahai, nikmat Tuhan manakah yang kita dustakan?

sepasang mata yang mengalirkan kalinya, jangan ditangisi pada yang menzalimi, tetapi padaNya yang sentiasa mengasihi.


Astaghfirullah. Janganlah bersedih, saudari.
Saya doakan anda bahagia. Putus kasih sayang ini, sambunglah sebaik-baiknya dengan Dia.
Bukankah daripadaNya, sebaik-baik Kasih Sayang?

Tuesday, January 11, 2011

MESEJ DARIPADA TEMAN YANG SEJATI.

MESEJ DARIPADA TEMAN YANG SEJATI.    
Dia tak pernah sebegitu. Muncungnya panjang sekali. Aku pun tak tahu kenapa dia jadi begitu. Yang aku pasti dia mula tak menyapa aku pagi tadi. Seperti biasa, dia akan ke bilik aku mengejutkan aku bangun ke kuliah. Dan seperti kebiasaannya, apabila bertembung dengan kuliah waktu awal pagi seawal  pukul 8.00 pagi, pastinya memohon pengorbanan aku bangun dari pukul 7.00 pagi lagi memandangkan kolej kediaman kami agak jauh dari pusat pengajian. Perjalanan biasanya memakan masa paling cepat 30minit. Dan dia biasanya dari pukul tujuh lagi tercegat di depan pintu bilikku, mengejutkan aku agar tak terlewat ke kuliah. 

Pagi ini, aku tak mengubah suatu perkara pun. Aku masih lagi liat, dan perkara ini memendekkan akal aku untuk ke kuliah awal pagi itu. Dia giat menggerakkan tubuhku yang longlai dalam litupan selimut hijau lembut hadiah daripada ibu aku dari kampung. Sebaik sahaja aku menggeleng kepala menandakan aku malas ke kuliah hari itu, mukanya berubah. Marah barangkali. Aku tak pernah pun ambil kisah tentang marahnya. Dia akhirnya melangkah meninggalkan aku yang masih berhibernasi seperti beruang kutub itu.  

Pukul 11 pagi baru aku mula menghayun kaki ke pusat pengajian kami. Aku hanya nampak dia dari jauh. Juga seperti selalunya, dia berada jauh di depan sedangkan aku agak terperosok jauh ke belakang dewan kuliah. Habis sahaja kuliah biodiversiti tumbuhan, aku berjalan perlahan mendekatinya dan Halim yang juga belajar dalam kelas yang sama untuk subjek bahasa inggeris, kelas seketika nanti. Nampak sahaja wajah aku, Halim menyapa laju, bertanya tentang projek yang belum pun aku laksanakan. Faham dengan jawapan yang bakal aku katakan, Halim laju menyindir. Mukanya meriakkan kemanisan bergurau. Tapi berbeza dengan teman di sebelahnya. Dia tak menegurku waima dengan sepatah kata pun. Mukanya kelat mencuka. Aku cuba berseloroh perlahan. Bagai berbisik sahaja ke telinganya. Sama ada dia dengar atau tidak aku tak pasti. Tapi yang jelas, dia menarik muka jauh. Pasti dia tak senang. Kenapa ya?  

Waktu kelas bahasa Inggeris selama 2 jam amat membosankan. Selalunya tak sebegini. Mungkin kerna selalunya, aku dan dia sentiasa menunjukkan telatah dan ragam masing-masing. Tak hairanlah kami amat terkenal dibandingkan pelajar lain. Halim juga kadang-kadang turut mencelah. Cuma hari ini Halim sibuk menyiapkan kerja projek yang terbengkalai walaupun seharusnya itu tugas aku. Dia diam sekali hari ini. Sunyi dan membuatkan hati aku sedikit kesit. Entahlah.aku makin keliru. Tak faham.  Kelas habis agak awal dari selalunya. Aku berjalan perlahan membuntuti Halim. Budak itu berjalan agak laju mendepani aku dan Halim yang sedang rancak berbual. Halim lebih ceria dari sebelumnya. Aku pun tak terasa nak menyapa budak itu memandangkan matanya agak tepat memandang tanah yang basah ditimpa hujan petang itu. Halim bergerak ke hala bertentangan apabila sampai di persimpangan jalan yang memisahkan kolej kami berdua. Aku pula terus menghayunkan langkah menuruti sahabat aku yang ‘bisu’ itu. Bosan dengan berdiam diri sedari tadi, aku memulakan langkah pertama menegurnya. Hampa. Dia tak membalas pun. Dia tak menunjukkan rasa bencinya pada aku. Mukanya agak selamba. Aku benar-benar tak faham. Merajuk ke? Tentang apa agaknya? 

Aku cuba membuka mulut bertanyakan kenapa atau paling tidak terus memujuknya. Maklum sahaja dia berperangai seperti budak-budak juga kadang-kadang. Lagipun dia memang lebih muda daripada aku. Tak ubah juga seperti adik aku. Mungkin sebab inilah, makin lama aku makin tak kisah memendekkan muncungnya yang berdepa panjangnya itu. Aku pun dah kian faham tindakannya. Dia memang jujur dan ikhlas. Sebab yang kuat untuk aku faham kenapa dia begitu sensitif dalam soal ini. Tapi soal apa sebenarnya? Hubungan yang rumit. Cubaan memujuk yang aku laksanakan tak membuahkan hasil yang ranum. Dia tak senyum pun. Ayat yang terluah pun hanya- “tidak ada apa-apa kut..”  Aku bertambah pening. Aku diam sepertinya dalam perjalanan itu. Kalau boleh nak saja aku terajang dia tanya kenapa…  

……..  
Hati aku tersentap berang. Dia tak patut buat begitu. Walau bagaimana marah pun dia pada aku dia tetap tak ada hak memperlekehkan aku sebegitu. Teman-teman lain berderai ketawanya. Muka aku semerah saga aku kira. Dia dah melampau! Egoku mula tercabar. Darah lelakiku meruap naik. Aku menjelingnya di hujung meja bulat tempat kami semua menjamu selera malam itu. Sudah lah semasa aku mengajak dia makan malam sebentar tadi dia tidak menjawab. Hanya apabila Hisham yang mengajak barulah dia setuju. Memang aku tak faham. Aku merenung matanya memohon agar cerita itu dihentikan namun matanya menjeling tajam umpama ingin menelanku hidup-hidup. Sah dia dah gila. Pasti mati aku malam itu. Apa lagi dapat aku buat. Kisah lelaki yang menggosok belakang dan tangan aku akhirnya menjadi cerita ‘bedtime story’ mereka semua malam itu. Nahas!  Esoknya aku tekad tak mahu menegur atau melihat dia lagi. Aku nampak dia tenang sahaja. Tak terasa susah pun bila aku menjauhinya. Malah dia biasa sahaja bila berjalan sendirian ke kelas atau ketika makan. Dia sudah biasa ke? Aku rasa tidak kerana dia pernah cerita tentang betapa bosan dan sepinya hidup bila senantiasa bersendirian. Kadang-kadang apabila rakan-rakan lain ajak makan, kami bertemu juga. Tapi perang dingin kami tetap berpanjangan. Berbeza apabila mereka mengajak dia berbual-bual  di bilik aku, dia tegas menolak. Selalu sahaja sibuk. Aku pun malas nak ambil kisah. Sama juga bila aku harus ke biliknya untuk sebarang tujuan, aku berasa amat berat sekali. Pernah sekali aku teringat cekera padat yang tertinggal di biliknya minggu lepas. Mahu atu tidak, aku terpaksa mengambilnya memandangkan cakera padat itu akan digunakan untuk pengubah suaian komputer ribaku. Ketika sampai di depan biliknya aku sedikit cuak untuk mengetuknya. Apabila menyedari pintu biliknya tidak berkunci, aku menolak sahaja daun pintu itu tanpa mengucapakn salam. Sebenarnya selalu juga keadaannya begitu. Dia menoleh ke arahku. Aku menjawab kecil menyatakan keinginanku. Nyata dia tak berkata apa-apa. Hati aku marak tapi tak berapa endah dengan caranya. Mungkin kerana aku maklum kami tak seperti selalu dan umpamanya kami takkan berkawan lagi.  

……  
Dalam tak sedarku. Dah lebih seminggu kami tak bertegur sapa. Kawan-kawan lain seperti tak tahu pun. Bagiku itu perkara biasa. Seorang lelaki yang tak baik dengan seorang lelaki lain khususnya bila menyentuh tentang perang dingin ini, selalunya berbulan baru diketahui teman-teman lain. Sebenarnya aku sendiri tak pasti betul ke dah lebih seminggu. Lagi pula seperti tak tiada apa-apa yang berlaku antara kami. Sekadar mulut masing-masing tak terasa nak menegur telinga pihak sebelah lagi. Dan akhirnya berlanjutanlah sehingga seminggu. Ikhlas, aku tak percaya dia mampu melarutkan masa perang dingin kami. Aku sendiri tak mahu hubungan ini terus begitu. Sesekali terasa juga ingin menegurnya tapi aku terpaksa tunduk kepada ego lelakiku yang membuak kehangatan. Darah lelaki muda barangkali. Dan apa yang lebih megelirukan aku bila terfikirkan bahawa selalunya dia yang datang menyapaku bila kami bermasam muka umpamanya tidak ada apa-apa yang berlaku antara kami. Mungkin kali ini dia juga ada egonya. Atau dia mahu dipujuk? Tak kuasa aku. Entahlah.

……  
Hari kesembilan aku kira. Atau kesepuluh mungkin. Dia ke kuliah sendirian. Pun begitu juga dengan aku. Segala-galanya berjalan seperti minggu lepas. Diam dan panas. Jauh dan seperti tak pernah mengenali masing-masing. Kami memang berasingan, Cuma ketika pulang, kami berjalan agak seiring. Pada mulanya dia berjalan agak ke depan. Entah mengapa dan bagaimana tiba-tiba sahaja aku hampir terlanggar diriya. Aku tak rasa pun aku berjalan terlalu laju. Barangkali dia berjalan lambat-lambat atau terus berhenti. Untuk apa? Nak saing dengan aku ke? Ego aku bercambah. Jangan harap! Selagi tak dengar perkataan maaf daripada mulutnya aku takkan dekat. Aku melangkah laju-laju. Melintas dan meninggalkan dia keseorangan. Ketika memotong dia yang tengah berjalan itu, aku sempat menangkap kilas matanya yang redup melihat kelibatku. Entah kenapa aku menjadi sekejam itu. Aku menjadi bertambah ego dan terlintaslah niat ingin membalas dengan perbuatannya. Siapa suruh mula dulu…  

Dia kaget sedikit tapi aku nampak tangannya sedang menekan punat telefon tangannya. Menulis mesej ringkas atau sebenarnya sedang kawal rasa malu? Aku tak tahu. Terasa hati ini sedang digeletek pula. Aku membuka langkah semakin luas dan melajukan lagi hayunan kakiku. Lebih lagi bila dia kelihatan seperti ingin mengikutku. Aku dengan rasa amat diperlukan, berlari meninggalkannya dan menyeberangi jalan. Dan serentak dengan itu, aku terkejut dia berlari pantas mengejarku, memekik namaku kuat dan menolak tubuhku jatuh terlentang. Aku gamam dengan sekujur tubuh di bawah perut kereta Waja buatan Malaysia yang berwarna kelabu itu. Darah yang mengalir lebih banyak dari darah yang mengalir pada lenganku.  

……  

Sedar sahaja, aku betul-betul di depan wad kecemasan unit rawatan rapi Hospital Kajang. Seorang jururawat keluar menghulurkan sebuah telefon bimbit berwarna biru laut. Itu telefon dia. Mendapatkan telefon itu bagaikan mendapatkan semula seseorang yang aku tak pedulikan, seseorang yang banyak kesalahan aku padanya. Pada skrin telefon bimbit itu tertera nombor telefon bimbitku. Aku tersentak. Hatiku meluru bertanya untuk apa nombor aku terisi di ruang nombor  mesej untuk dihantar. Aku membuka ruang mesej itu dan membaca sebuah mesej panjang yang amat mengharukan hatiku yang selama ini amat kering dengan emosi…  
……  HARI INI KITA GADUH… AKU MAIN-MAIN SAJA… TAPI KAU INGAT BETUL-BETUL PULAK… APALAH…  KAN AKU JUGA YANG MENYESAL…  TADI KITA JUMPA, KAU PANGGIL AKU… TAPI AKU BUAT-BUAT TAK DENGAR… KENAPALAH KAU TAK FAHAM… AKU SAJA JE NAK MERAJUK SIKIT… EGO LELAKI… AKU SUKA GILA BILA KAU PANGGIL… DALAM HATI MENGHARAP AGAR KAU PUJUK AKU… TANYA KENAPA… TAPI TAK… KAU TAK TANYA… AKU LAGI KECEWA… MASA KAU TANYA HARI TU AKU BUKAN TAK NAK JAWAB CUMA SAJA JUAL MAHAL.. NAK JUGA TENGOK KAU TENSION PUJUK AKU… PADAN MUKA AKU BILA KAU DAH TENSION DAN TAK NAK TEGUR AKU LAGI.  BILA JALAN AKU TERINGAT APA YANG KAU SELALU BUAT KAT AKU… AKU PUN BALAS DENDAM… BODOHNYA AKU SEBAB BALAS DENDAM TAK KENA TEMPAT…  BILA KITA SELISIH, AKU TAK BERANI PANDANG KAU… AKU SEGANLAH… BUKAN BENCI KAU… AKU TAU KAU BENGANG TAPI AKU SEGAN NAK TEGUR KAU.. KALAU KAU TEGUR DULU DAN BUAT MACAM TAK ADA APA-APA BERLAKU ANTARA KITA, MESTI AKU TAK KISAH. AKU PUN SATU… KENAPA LAH NAK CARI GADUH DENGAN KAU… KAN AKU JUGA RASA SUNYI…  HARI TU AKU TAK SENGAJA KUTUK KAU… ALAH KAU NI PUN SATU… MACAM TAK BIASA PULA… KAN SELALU BEGITU… BILA KAU PANDANG AKU MINTA DIAM-DIAM DENGAN MATA KAU YANG TAJAM TU… AKU RASA SUKA PULA… GELI HATI…  TAPI MUNGKIN ITU PERASAAN YANG AKU RINDUKAN MASA KAWAN DENGAN KAU… CARA KAU YANG BIASA DAN SELAMBA… TAPI IKHLAS… DAN RASA KAU MEMANG KELAKARLAH…  TAPI ITU DULU… SEKARANG AKU RASA KAU DAH TAK SUKA KAWAN DENGAN AKU LAGI… KITA TAK SELALU BERJALAN BERSAMA… AKU RASA BOSAN DAH TAK ADA KAWAN… KALAU BERJALAN SEKALI PUN KAU TAK BANYAK BORAK DENGAN AKU… LAGILAH NAK BUAT KELAKAR MACAM SELALU…  AKU PUN DAH LAMA TAK DENGAR MULUT KAU SEBUT NAMA AKU DENGAN BAIK…  NAMA AKU BUKAN EH ATAU WOI… MAK ABAH AKU BERI NAMA PADA AKU DENGAN SEBUTAN YANG BAIK… WALAUPUN TAK ADA MAKNA… PANGGIL SAJA LAH BEGITU…  TADI KAU BUAT MUKA EMPAT BELAS… AKU NAK PANGGIL KAU… KALAU BOLEH NAK MINTA MAAF DENGAN KAU SEBAB BANYAK BUAT SILAP DENGAN KAU… TAPI KAU JALAN LAMBAT SANGAT…  BILA AKU PERLAHANKAN LANGKAH AKU,  TIBA-TIBA KAU JALAN LAJU… AKU RASA TERKILAN JUGA LAH… TAPI AKU TAK SALAHKAN KAU… AKU YANG BUAT KAU BEGITU… AKU YANG MULAKAN DULU… SIAPA SURUH AKU BUAT BEGITU… PADAN MUKA AKU SEKALI LAGI…  LAGIPUN AKU YANG BUAT KAU MARAH… JADI AKU KENA TANGGUNGLAH RISIKONYA…  MUNGKIN KAU MASIH TAK DAPAT MAAFKAN AKU LAGI…  TAK APALAH… AKU TUNGGU SEHINGGA KAU BENAR-BENAR SEDIA DAN IKHLAS UNTUK MAAFKAN AKU…  TAPI KAN… AKU TAKUT AKU TAK SEMPAT NAK MINTA MAAF DENGAN KAU… YA LAH… AJAL MAUT DI TANGAN TUHAN… KALAU ADA ANTARA KITA YANG PERGI DULU… MESTI AKU TAK SEMPAT MINTA MAAF KEPADA KAU…  BEGINILAH… AKU TAIP MESEJ PANJANG INI AGAR KAU DAPAT FAHAM MAKSUD AKU… KALAU KAU DAH DAPAT MESEJ NI NANTI, AKU HARAP KAU MAAFKAN AKU…  AKU TAHU SILAP AKU DAN AKU CUBA TAKKAN BUAT LAGI… AKU JANJI…  DAN KALAU SEMPAT AKU NAK BERITAHU… KAULAH TEMAN PALING SEMPURNA… KAULAH TEMAN PALING ISTIMEWA… KAULAH TEMAN YANG SEJATIKU…  TERIMA KASIH DAN MAAF SEKALI LAGI…  FAIZ…TERIMA KASIH.  …….  

Dan mungkin, ini mesej terakhir yang akan ku terima dari seorang teman yang sejati, yang sebenarnya tak sempat pun sampai kepadaku. Lebih lagi bila doktor menggelengkan kepalanya di saat ibunya datang bertanyakan keadaannya.  Kerana berlagaknya aku sebagai seorang lelaki, aku melupakan keintiman sebuah persahabatan yang tampak biasa di mata insan lain. Rupanya namaku dipanggil bukan kerana mohon aku tunggu dia, sebaliknya supaya aku menyedari kehadiran kereta kelabu itu. Kerana ego, aku kehilangan permata yang ku sangkakan batu biasa itu…  

Untukmu saudaraku, Amanlah engkau di sana… 
Al-Fatihah…  

“Meski suatu masa kau tak mengenali permata atau batu yang kau kutip, harus bagi kau menghargai setiapnya yang telah kau genggami kerna aku bimbang, kau akan kehilangan sebutir permata yang tak ternilai harganya, sedang kau terlalu sibuk mencari biji-biji batu yang sebenarnya hanyalah butir-butir pasir yang biasa.”    

~MUHAMMAD HANAM HAMID 
ukm: 20.10.2006 1211pagi ~ 21.10.2006 756pagi

Suara Di Balik Layar


Melodi Kristal - Siti Nurhaliza
Mp3-Codes.com